Sumber Gambar: KL Hawks

Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) dijangka bakal mengadakan perbincangan dengan ketua jurulatih pasukan, Yusri Che Lah untuk membahas masa depan jurulatih itu bersama skuad Ibu Kota bagi baki saingan Liga Malaysia musim ini.

Masa depan Yusri bersama skuad The City Boys menjadi tanda tanya selepas pasukannya tewas kepada seteru Lembah Klang, Selangor dengan keputusan 3-2 semalam. Kekalahan di Cheras menandakan kekalahan kelima berturut-turut Kuala Lumpur dalam saingan Liga Super perkara ini nyata sukar untuk diterima ramai pihak.

Selepas perlawanan tamat, Yusri menyatakan beliau mahu perbincangan secara baik dengan pihak pengurusan bagi menentukan sama ada mereka masih meletakkan kepercayaan di bahu bekas pengendali Kelantan itu atau sebaliknya.

“Saya mohon perbincangan secara baik kerana kemasukan saya juga dengan cara baik. Saya perlu bersikap jujur seandainya pengurusan merasakan saya tidak mampu bawa pasukan ini, saya rela untuk berbincang dengan mereka untuk tentukan masa depan.

“Saya bukan perjuangkan masa depan saya tetapi masa depan Kuala Lumpur. Andai itu jalan terbaik, saya redha apa juga (tindakan) majikan akan ambil,” katanya selepas tamat perlawanan.

Kuala Lumpur seolah-olah bakal menamatkan rentetan kekalahan mereka apabila mendahului pada separuh masa pertama menerusi jaringan Muhammad Syafwan Syahlan pada minit ke-4 dan Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-37.

Namun, segala kerja keras yang ditampilkan nyata tidak cukup apabila Selangor berjaya bangkit daripada ketinggalan dengan menjaringkan tiga gol pada separuh masa kedua sekaligus memenangi perlawanan.

Sandro menyemarakkan kebangkitan skuad Gergasi Merah apabila beliau menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-61. Syazwan Zainon kemudiannya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-71 sebelum Amri Yahyah menanduk masuk bola muntah pada minit ke-77 dan gol tersebut menjadi gol kemenangan Selangor.

Ramai pihak termasuk penyokong setia Kuala Lumpur menjangkakan hasil daripada perbincangan antara KLFA bersama Yusri akan menyaksikan bekas pemain Perlis itu direhatkan ataupun terus digantikan dengan ketua jurulatih yang lain.

Lima kekalahan berturut-turut sememangnya satu prestasi yang sukar untuk diterima.

Baca Juga: Kenapa Tak Letak Jurulatih Tempatan – B.Sathianathan

Leave a Reply