Sumber Gambar: NST

Bekas pemain skuad kebangsaan, Khalid Ali berpendapat tidak adil untuk meletakkan sepenuhnya kesalahan di bahu ketua jurulatih jika sesebuah pasukan gagal untuk menampilkan prestasi terbaik mereka.

Khalid berkata demikian setelah menyaksikan ketua jurulatih pasukan Kuala Lumpur, Yusri Che Lah meletak jawatan setelah menerima kritikan hebat susulan kekalahan kali kelima berturut-turut pasukan itu dalam saingan Liga Super musim ini.

Menurut bekas pemain Selangor itu, beliau berpendapat kebanyakan jurulatih Liga M berpengalaman dan pernah mengecapi pelbagai kejayaan.

“Tapi, apa yang kita tahu pemain sekarang tidaklah sampai kepada kualiti yang dikehendaki dan memuaskan hati pengurusan.

“Pengurusan sepatutnya faham dan beri kerjasama kepada jurulatih mengendalikan pasukan untuk satu musim. Mungkin mereka akan bawa perubahan kepada pasukan itu, tapi bila semua kekalahan dipertanggungjawabkan kepada jurulatih, itu memang salah dan tidak adil,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Tambah Khalid, pengurusan sesebuah pasukan perlu memainkan peranan dengan memberi kepercayaan penuh kepada jurulatih untuk menjalankan tugas mereka.

“Jika rasa pertukaran beri impak yang baik, kena tunggulah dan beri kepercayaan kepada jurulatih. Sebagai jurulatih profesional, mungkin perlu masa sedikit untuk memantapkan pasukan.

“Selalu tukar jurulatih dalam masa terdekat mungkin ada kepincangan,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Khalid Ali menganggap pemain Kuala Lumpur dilihat tidak mampu untuk bertahan dengan baik untuk 90 minit sehingga tewas kepada seteru Lembah Klang mereka iaitu pasukan Selangor tempoh hari.

“Taraf pemain muda sekarang tidak sampai 90 minit, sepatutnya dengan mendahului 2-0 boleh menang tapi kerana mentaliti, Selangor menang 3-2.

“Kita lihat pemain sekarang juga tidak berubah. Pemain lama masih bermain di Liga Super sebab kita tiada pemain muda yang boleh bersaing misalnya dengan Syukor Adan dan Syafiq Rahim,” katanya.

Pada perlawanan yang berlangsung Ahad lalu, Kuala Lumpur terlebih dahulu berada di hadapan pada separuh masa pertama apabila Safuan Sahlan dan Indra Putra Mahayuddin masing-masing menjaringkan satu gol.

Namun, kelebihan yang dimiliki tidak bertahan lama apabila Selangor menjaringkan tiga gol pada separuh masa kedua sekaligus mencatat kemenangan sulung dalam saingan liga musim ini.

Baca Juga: FAM Yakin Penyokong Akan Hadir Ke Stadium

Leave a Reply