Sumber Gambar: FA Selangor

Pendedahan ketua jurulatih Selangor, B.Sathianathan mengenai ada beberapa peminat yang melontarkan kutukan berbaur perkauman terhadap beliau nyata mendapat perhatian majikannya iaitu Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Kesal dengan sikap tidak beretika dan tidak bertanggungjawab itu, FAS bercadang untuk me­lancarkan kempen anti-perkauman ke­rana bimbang isu tersebut akan mencemari sukan tanah air jika tidak dibendung dari awal.

Setiausaha Agung FAS, Dr. Johan Kamal Hamidon berkata beliau kesal kerana perkara seperti itu masih lagi berlaku di zaman moden ini sambil mengingatkan para peminat perlu menyalurkan kemarahan mereka dengan cara yang betul.

“Kutukan berbaur perkauman tidak patut berlaku.

“FAS mengutuk sekeras-kerasnya tindakan peminat yang melakukan provokasi melampau berbaur perkauman.

“Kami faham, mereka marah de­ngan prestasi pasukan tetapi mereka tiada hak mengeluarkan kata-kata berunsur perkauman.

“Kami tidak menafikan hak mereka untuk bersuara tetapi jangan melampaui batas.

“Saya akan panjangkan perkara ini kepada jawatankuasa dan mungkin me­ngusulkan kempen anti-perkauman kepada pasukan media FAS.

“Saya fikir jika FAM turut terlibat, kempen ini pasti akan lebih berpengaruh,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Sebelum ini, selepas perlawanan diantara Selangor menentang Kuala Lumpur pada Ahad lalu, Sathia mendedahkan beliau menerima kutukan berbaur perkauman di media sosial dan ada diantaranya ditulis oleh kanak-kanak seawal umur 11 tahun.

Tambah Dr. Johan, pihaknya belum mempertimbangkan untuk membuat laporan terhadap pihak berkuasa mengenai kejadian ini kerana ianya dilihat tidak praktikal.

“Segala komen penyokong di media sosial adalah hak masing-masing. Saya fikir tidak praktikal untuk kami membuat laporan terhadap setiap komen yang dilakukan kerana mungkin jumlahnya banyak.

“Saya fikir, isu ini melibatkan mentaliti, bukan mudah untuk kita mengubahnya dan ia mengambil masa yang lama.

“Ada baiknya jika penyokong sendiri yang mempunyai ke­sedaran terhadap isu perkauman ini,” ujarnya.

Pada pertembungan Klang Valley Derby, Selangor berjaya bangkit daripada ketinggalan pada separuh masa pertama dengan mencatatkan kemenangan 3-2 ke atas Kuala Lumpur.

Kemenangan tersebut menjadi kemenangan pertama Selangor dalam saingan Liga Super musim ini.

Baca Juga: Nick Swirad Buru Tempat Dalam Kesebelasan Utama

Leave a Reply