Sumber Gambar: Football Tribe

Bekas ketua jurulatih pasukan Johor Darul Ta’zim, Mario Gomez menegaskan beliau masih berminat sekiranya ada pasukan Liga Malaysia yang memerlukan khidmatnya.

Gomez, yang membimbing JDT selama dua musim kini tidak terikat dengan mana-mana pasukan setelah kontraknya bersama kelab Liga 1 Indonesia, Persib Bandung ditamatkan pada Disember tahun lalu berkata beliau sentiasa bersedia untuk kembali menjadi jurulatih dalam saingan Liga M.

“Ada wakil dari Malaysia menghubungi saya tetapi saya tidak mahu bercerita lebih. Siapa pasukan itu biarlah rahsia kerana saya menghormati semua pihak.

“Seperti saya katakan tadi, saya tidak mahu bercakap lebih tetapi jika tawaran itu ada, sudah pasti saya gembira untuk kembali melatih pasukan di Liga Malaysia.

“Jika ada rezeki (membimbing pasukan Liga Malaysia), saya akan umumkan tetapi buat masa ini, tiada apa-apa ‘hitam putih’ (dalam perjanjian),” kata Gomez menurut laporan Berita Harian.

Jurulatih yang pernah menjadi penolong jurulatih di Valencia dan Inter Milan ini turut menegaskan Liga Malaysia sentiasa berada di hatinya dan beliau sememangnya menunggu peluang untuk kembali.

“Liga M sentiasa istimewa di hati saya apatah lagi pengalaman manis saya bersama JDT. Tipu jika saya katakan tidak berminat untuk kembali Liga Malaysia.

“Liga M memiliki tarikan tersendiri. Imej Liga M semakin terkenal dan ramai pemain khusus dari Asia Tenggara mahu bermain di sini. Jadi, sudah pasti saya mahu kembali jika dapat peluang itu,” ujarnya.

Ketika mengendalikan JDT, Gomez berjaya memenangi beberapa kejuaraan yang ditawarkan dalam saingan Liga Malaysia dan juga di peringkat Asia. Sepanjang dua musim di bawah kendalian jurulatih berusia 62 tahun itu, JDT berjaya memenangi Liga Super musim 2015 dan 2016, Piala FA edisi 2016 dan Piala Sumbangsih pada tahun yang sama.

Namun yang paling diingati ialah kejayaan Mario Gomez membimbing Johor Darul Ta’zim memenangi Piala AFC edisi 2015 dengan menewaskan FC Istiklol pada perlawanan akhir. JDT juga menempah sejarah dengan menjadi kelab dari rantau Asia Tenggara pertama yang memenangi kejuaraan tersebut.

Baca Juga: Kenapa Tak Letak Jurulatih Tempatan – B.Sathianathan

Leave a Reply