Sumber Gambar: Sinar Harian

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyatakan rasa tidak puas hati beliau terhadap prestasi yang ditampilkan oleh pasukan Perak dalam saingan Liga Super musim ini.

Ahmad Faizal yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) berkata hanya satu kemenangan yang berjaya direkodkan selepas lima perlawanan bukanlah pencapaian yang melegakan buat peminat setia pasukan tersebut.

Menurut Faizal, ketumpulan jentera serangan pasukan menjadi faktor mengapa Perak gagal untuk menampilkan kemampuan sebenar mereka. Setakat ini, jentera serangan skuad The Boss Gaurus itu hanya menjaringkan empat gol dalam lima perlawanan liga.

Catatan ini nyata sedikit mengecewakan dimana musim lalu, trio serangan pasukan iaitu Gilmar, Wander Luiz dan Nor Hakim Isa beraksi dengan cemerlang dengan membantu Perak menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua dan memenangi Piala Malaysia.

“Sebenarnya saya masih belum puas hati dengan persembahan para pemain. Kita cuma memperoleh satu kemenangan dan saya dapati serangan masih lagi tumpul.

“Jadi saya bersama-sama pemain hari ini untuk menaikkan lagi semangat mereka supaya berlatih bersungguh-sunguh,” katanya Utusan Malaysia.

Perak ketika ini menduduki tangga ketujuh liga dengan enam mata apabila mencatat satu kemenangan dan tiga kali seri. Kemenangan ke atas Petaling Jaya City FC minggu lalu menjadi satu-satunya kemenangan yang dicatatkan oleh pasukan bimbingan Mehmet Durakovic.

Tambah Ahmad Faizal, beliau berharap para pemain dapat bangkit dengan menampilkan permainan yang lebih baik pada perlawanan berikutnya sekaligus memperbaiki kedudukan dalam carta Liga Super.

“Pastikan kita boleh buat lebih banyak kemenangan untuk para penyokong, teruskan menyokong pasukan kita,” tambahnya.

Baca Juga: FAM Kenalkan Peraturan Baru Bagi Perkasa Liga M

Leave a Reply