Sumber Gambar: FAM

Ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee lega tujuh tonggak utama sudah melaporkan diri bagi menyertai kem latihan pusat sekaligus pasukan kini sudah lengkap dan bersedia untuk mengharungi kempen kelayakan AFC Bawah 23 Tahun.

Tujuh pemain yang disebutkan ialah lima daripada Johor Darul Ta’zim iaitu Safawi Rasid, Syamer Kutty Abba, Akhyar Rashid, Dominic Tan dan Haziq Nadzli manakala dua lagi masing-masing pemain pertahanan Selangor, Syahmi Safari serta penyerang Fagiano Okayama, Hadi Fayyadh Abdul Razak.

Menurut Kim Swee, kehadiran tujuh pemain yang disebutkan dapat memantapkan persiapan skuad bawah 22 tahun negara untuk bersaing pada kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Bawah 23 Tahun yang akan bermula pada 22 Mac depan.

“Hari ini (Rabu) semua pemain sudah melaporkan diri. Saya lihat ini sebagai petanda cukup positif dan merupakan kali pertama kita dapat mengumpulkan semua pemain terbaik negara untuk mengharungi aksi kelayakan itu.

“Justeru, saya harap barisan pemain dapat bersiap sedia dan memberi fokus lebih baik pada sesi latihan sebelum bermulanya kempen menentang Filipina pada 22 Mac nanti,” katanya menurut laporan Kosmo.

Kim Swee turut menganggap aksi persahabatan menentang Australia di Stadium Shah Alam pada Ahad ini sebagai aksi pemanas badan terbaik bagi menilai kekuatan pasukan terutama berdepan pasukan China dalam aksi terakhir Kumpulan J nanti.

“Australia memiliki persamaan dari segi kualiti dengan China dan ini terbukti apabila mereka (Australia) layak secara automatik pada Sukan Olimpik. Jadi, saya anggap perlawanan itu nanti sebagai medan ujian bagi menguji kombinasi terbaik pemain,” ujarnya.

Pasukan yang lengkap nyata bukan saja menggembirakan Datuk Ong Kim Swee malah peminat setia pasukan negara yang mahu menyaksikan skuad bawah 23 tahun negara sekali lagi mara ke saingan AFC Bawah 23 Tahun.

Malaysia diundi dalam kumpulan J bersama pasukan China, Filipina dan juga Laos. Setiap juara kumpulan akan mara secara automatik ke pusingan akhir di Thailand tahun depan.

Jika skuad B-22 negara gagal menerajui tangga teratas Kumpulan J, mereka masih boleh mara tetapi dengan syarat perlu berada dalam kelompok empat naib juara terbaik antara 11 kumpulan kelayakan kali ini.

Baca Juga: Pertukaran Posisi Bawa Tuah Untuk Latiff Suhaimi

Leave a Reply