Sumber Gambar: FA Selangor

Pemain pertahanan Selangor, Abdul Latiff Suhaimi menyatakan pertukaran posisi daripada bahagian tengah kepada posisi beliau ketika ini menjadi faktor utama beliau kembali dipanggil bagi memperkuatkan pasukan kebangsaan.

Latiff dipanggil oleh ketua jurulatih pasukan, Tan Cheng Hoe bagi mengukuhkan barisan pertahanan dan pemain berusia 29 tahun ini nyata tidak kekok untuk beraksi bersama rakan sepasukan yang lain meskipun kali terakhir mewakili pasukan kebangsaan pada 2016 lalu.

“Kali terkahir saya bersama pasukan negara adalah pada 2016. Perubahan posisi mungkin jadi faktor kepada keputusan jurulatih (Tan Cheng Hoe) menyenaraikan saya dalam pasukan.

“Tidak ada masalah untuk sertai pasukan kerana semua mereka (pemain lain) adalah kawan saya malah pemain dari skuad 2016 juga masih ada dalam pasukan kali ini,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Sejak dua musim kebelakangan ini, bekas pemain PDRM FA dan Terengganu FC itu selalu diturunkan di barisan pertahanan. Perkara ini sedikit berbeza berbanding posisi asal beliau iaitu di bahagian tengah sewaktu menyinar bersama The Cops dalam saingan Liga Malaysia musim 2016.

Tambah Latiff Suhaimi, selain memburu tempat dalam kesebelasan utama dalam kejohanan Piala Airmarine 2019, beliau juga mengharapkan panggilan skuad kebangsaan kali ini sebagai permulaan buatnya terus berada dalam skuad Harimau Malaya pada masa akan datang.

“Semua pemain dipanggil cukup berkualiti dan mereka sedang berada pada prestasi terbaik bersama pasukan masing-masing. Sasaran saya kini adalah untuk dapatkan kesebelasan utama dan membantu pasukan meraih kemenangan.

“Saya akan cuba dengan aksi terbaik dan pastinya saya mahu kekalkan kedudukan saya dalam skuad kebangsaan,” tambahnya.

Bagi mengisi posisi pertahanan dalam kesebelasan utama pasukan, Latiff dilihat bakal bersaing dengan pemain PKNS FC, Nick Swirad dan pemain Kuala Lumpur, Irfan Zakaria bagi digandingkan dengan Shahrul Saad.

Kecemerlangan Shahrul Saad dalam saingan Piala AFF Suzuki tahun lalu dijangka mengekalkan beliau dalam kesebelasan utama dan tiga pemain yang disebutkan di atas akan bersaing bagi digandingkan dengan beliau.

Baca Juga: FAM Kenalkan Peraturan Baru Bagi Perkasa Liga M

Leave a Reply