10 Pasukan Hadapi Masalah Pembayaran Gaji
- Liga Perdana, Liga Super
- Oct 1, 2018
- No comment
Presiden Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Rezal Zambery Yahya mendedahkan ada 10 pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim ini menghadapi masalah pembayaran gaji pemain.
Menurut Rezal, ada dua pasukan dari saingan Liga Super gagal melunaskan gaji pada tempoh masa yang telah ditetapkan ditetapkan manakala tiga pasukan lagi datangnya dari saingan Liga Perdana dan lima lagi pasukan dari saingan Liga FAM.
“Status kes adalah berbeza. Ada yang di peringkat surat menyurat, ada yang masih menunggu giliran untuk Jawatankuasa Status FAM dan ada juga tunggu giliran Jawatankuasa Tatatertib FAM sebab ingkar arahan Status.
“Sekarang ini pun ada lagi pemain yang masih berurusan dengan majikan mereka mengenai isu tunggakan gaji. PFAM masih beri ruang untuk pemain menyelesaikan dengan cara baik atas permintaan pemain.
“Sekiranya tidak juga dapat diselesaikan, PFAM akan mengambil alih kes ini dan akan terus melaporkan ke FAM.
“Jadi saya mohon kepada pengurusan kelab supaya jalankan tanggungjawab sebagai majikan dan jangan lari dan fikirkan kehidupan pemain yang bergantung kepada majikan” kata Rezal kepada Sukan NSTP.
Pada masa yang sama, Rezal memuji tindakan UKM FC yang berjaya melunaskan tunggakan gaji tiga bulan pemainnya tanpa membiarkan masalah itu terus berlanjutan.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pengurusan UKM FC kerana menyelesaikan gaji pemain mereka.
“Jadi inilah perkara yang perlu dicontohi dengan masalah yang timbul dibawa berbincang dan mengambil inisiatif selesaikan tunggakan gaji. Saya harap pasukan lain juga akan ikut dan bayar sebelum berakhirnya saingan musim ini,” tambah Rezal.
Apa yang pasti, masalah gaji yang dihadapi oleh 10 pasukan ini diharapkan dapat diselesaikan dalam masa terdekat bagi mengelakkan dikenakan denda oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan juga pengelola Liga Malaysia, Malaysia Football League (MFL).
Selain itu, penting untuk pasukan menyelesaikan pembayaran gaji pemain bagi menastikan pemain mendapat hak mereka dan boleh menumpukan sepenuh perhatian ketika beraksi di atas padang.
Baca Juga: 120 Pemain Dilanda Masalah Pembayaran Gaji