100 Ribu Penonton Pun Tak Jadi Masalah – Milovan Rajevac

Ketua jurulatih pasukan Thailand, Milovan Rajevac berkata anak-anak buah beliau tidak akan berdepan sebarang masalah walaupun Stadium Nasional Bukit Jalil dipenuhi oleh 100 ribu penyokong pada perlawanan separuh akhir pertama diantara Thailand menentang Malaysia Sabtu ini.

Tambah Rajevac, tiada apa yang perlu ditakutkan meskipun SNBJ akan dipenuhi dengan puluhan ribu penyokong setia Harimau Malaya, sama seperti yang disaksikan pada perlawanan menentang pasukan Myanmar minggu lalu.

“Kehadiran puluhan ribu penyokong Malaysia sedikitpun tidak menggentarkan kami kerana para pemain adalah pemain profesional dan mereka perlu menampilkan aksi terbaik walaupun beraksi di hadapan 100 ribu penyokong sekalipun.

“Kita akan turun beraksi dalam dua perlawanan dan jika kita melakukan persediaan rapi seterusnya menampilkan aksi terbaik, maka segalanya akan berjalan dengan lancar bagi kami,” kata Milovan Rajevac menurut laporan Stadium Astro.

Sebelum ini, nada yang sama dilaungkan oleh ketua jurulatih pasukan Myanmar, Antione Hey sebelum perlawanan diantara Malaysia menentang Myanmar di Bukit Jalil pada minggu lalu. Beliau berkata puluhan ribu penyokong tuan rumah yang membanjiri stadium tidak akan meruntuhkan semangat pemain Myanmar.

Namun, lain pula ceritanya setelah Myanmar tewas dengan keputusan 3-0. Antoine mengakui kehadiran puluhan ribu penyokong Malaysia telah menjejaskan rentak permainan anak-anak buah beliau. Para pemain nyata berasa goyang dengan sorakan padu yang diberikan oleh penyokong setia Harimau Malaya.

Apa yang pasti, diharapkan para penyokong dapat memenuhi segala sudut Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini bagi memberikan sokongan yang padu terhadap para pemain pasukan negara.

Penting untuk Malaysia memperoleh bekalan selesa pada perlawanan separuh akhir pertama bagi mencerahkan peluang untuk mara ke perlawanan akhir saingan edisi kali ini.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu di peringkat separuh akhir ialah pada edisi 2012 dimana ketika itu keputusan lebih berpihak kepada Thailand. Pertembungan kali ini menjadi medan untuk membalas dendam bukan saja bagi kekalahan pada edisi 2012 namun kekalahan pada perlawanan akhir edisi 2014 lalu.

Baca Juga: Pemain Saya Gementar – Antoine Hey

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *