#10YearsChallenge, Bolasepak Malaysia dan Senarionya

Kebelakangan ini, penggunaan #10YearsChallenge begitu trending di media sosial. Tanda pagar berkenaan menceritakan gambaran pengguna media sosial 10 tahun yang lepas, biasanya
berupa gambar mereka pada tahun 2009.

Penulis juga membawa #10YearsChallenge untuk melihat situasi liga bolasepak Malaysia pada masa
itu, iaitu pada musim 2009.

LIGA SUPER 2009

Kita mulakan #10YearsChallenge dengan Liga Super. Musim keenam Liga Super ini bermula pada awal Januari, selepas 3 musim sebelumnya Liga Super bermula pada bulan November/Disember. Buat pertama kalinya, 14 pasukan bertanding untuk musim 2009 ini – jumlah pasukan terbanyak dalam sejarah Liga Super. Walaupun cadangan FAM untuk mengembangkan jumlah pasukan kepada 14 pasukan tercetus pada musim 2006-07, namun ianya terbatal apabila MPPJ FC menarik diri.

Pada asalnya, Sarawak tersingkir dari Liga Super 2007-08 dan Kuala Muda NAZA dan KL PLUS dinaikkan
dari Liga Perdana 2007-08 selepas menjadi juara dan naib juara, namun selepas DPMM FC dikeluarkan
daripada saingan Liga Super kerana FIFA menggantung Persatuan Bolasepak Brunei Darussalam, maka
FAM menaikkan pasukan di tempat ketiga Liga Perdana, Kelantan.

Juara bagi musim 2009 adalah Selangor, seterusnya melayakkan mereka beraksi di Piala AFC 2010. Juara bertahan, Kedah sekadar menduduki tempat ketiga. Pahang dan PDRM menduduki tempat terbawah liga, seterusnya turun ke Liga Perdana 2010. Namun selepas Kuala Muda NAZA dan UPB-MyTeam menarik diri, Pahang terselamat daripada penyingkiran.

Selepas 10 tahun, Selangor, Kedah, Terengganu, Perak dan Pahang sahaja masih kekal di Liga Super
2019. Perlis, Kelantan, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan PDRM pula di Liga Perdana 2019. Johor FC
berubah nama menjadi JDT dan masih kekal di Liga Super 2019 juga. Kuala Muda NAZA dan UPBMyTeam menarik diri pada akhir musim 2009, sementara KL PLUS pada musim 2011. KL PLUS kini bersaing di Liga Kuala Lumpur Divisyen 1.

LIGA PERDANA 2009

Pada asalnya, 14 pasukan bakal bertanding di Liga Perdana 2009 ini, selepas Sarawak diturunkan dari Liga Super 2007-08 dan T-Team, MBJB dan Sinar Dimaja Mai Sarah Kepala Batas dinaikkan dari Liga FAM 2008. Namun MBJB menarik diri di pertengahan musim, menyebabkan jumlah pasukan
berkurang kepada 13 pasukan dan semua keputusan menentang MBJB dibatalkan.

Harimau Muda menjadi juara Liga Perdana 2009, namun kerana mereka merupakan pasukan
bolasepak pembangunan kebangsaan yang bermain di Liga Perdana sahaja, maka naib juara dan
tempat ketiga liga, T-Team dan Johor dinaikkan ke Liga Super 2010. Selepas penarikan Kuala Muda
NAZA dan UPB-MyTeam, Kuala Lumpur yang berada di tempat keempat liga dinaikkan ke Liga Super
2010. Sinar Dimaja Mai Sarah Kepala Batas pula tersingkir ke Liga FAM 2010.

Selepas 10 tahun, Kuala Lumpur, Felda United, PKNS dan Melaka berada di Liga Super 2019. Sabah
dan Sarawak bermain di Liga Perdana 2019. ATM kini di Liga FAM 2019. T-Team dan Johor dijenamakan
semula menjadi Terengganu II dan JDT II, dan kedua-duanya bermain di Liga Perdana 2019.

Harimau Muda dibubarkan pada akhir musim 2015. Proton FC menarik diri selepas musim 2009. Shahzan Muda kali terakhir menyertai Liga FAM 2018, namun masih samar-samar untuk meneruskan perjuangan.
Sinar Dimaja Mai Sarah Kepala Batas menarik diri pada akhir musim 2012.

LIGA FAM 2009

#10YearsChallenge seterusnya penulis bawa ke Liga FAM. Hanya 8 pasukan sahaja berentap di Liga FAM 10 tahun lepas, selepas 3 pasukan dari musim 2008 (TTeam, MBJB dan Sinar Dimaja Mai Sarah Kepala Batas) dinaikkan ke Liga Perdana 2009 dan tiada pasukan diturunkan dari Liga Perdana 2008. Rejimen Askar Melayu Diraja FC menarik diri untuk saingan musim 2009 dan digantikan dengan 4 pasukan baru (Pos Malaysia, USM FC, UiTM FC dan Penjara).

Walaupun menduduki tempat teratas dan menjadi juara, namun Pos Malaysia tidak dinaikkan secara
automatik ke Liga Perdana. Semua pasukan ditentukan oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan
(JKPT) FAM bagi menentukan pasukan mana yang berkelayakan untuk naik ke Liga Perdana.

Selepas hasil perbincangan, maka 3 pasukan yang berjaya dinaikkan ke Liga Perdana 2010 iaitu Pos Malaysia (juara), USM FC (tempat ketiga) dan MP Muar (tempat keempat). KSK Tambun Tulang sebagai naib juara tidak dinaikkan kerana tidak cukup dana, walaupun Faiz Subri bermain di sana.

Selepas 10 tahun, UiTM FC kini bermain di Liga Perdana 2019. UiTM FC merupakan pasukan universiti pertama yang membariskan kesemua pasukan penuntut UiTM sendiri pada musim 2009 itu. Penjara baru sahaja ditabalkan menjadi juara Piala Presiden PBNS 2018 sekaligus bakal bermain di Liga FAM 2019. Pos Malaysia mengubah nama menjadi DRB-HICOM pada musim 2014, dan menjadi juara Liga Divisyen 1 KLFA dan bakal bersaing di Liga Super KLFA.

KSK Tambun Tulang dan Kelab Sukan Juara Ban Hoe Leong pula menarik diri dari saingan liga dan
terpaksa dibubarkan pada musim 2010. USM FC walaupun dibarisi staf USM sendiri, namun mereka
juga menarik diri dan pasukan tersebut dibubarkan pada akhir musim 2012. Pasukan dari Johor seperti MP Muar dan Kelab Sukan Melodi Jaya bermain di Liga Johor selepas penstrukturan semula pada musim 2014.

PIALA FA 2009

Penulis juga sertakan #10YearsChallenge bagi kategori Piala. Sebanyak 28 pasukan – kesemuanya dari Liga Super dan Liga Perdana ikut serta di dalam saingan Piala FA 2009. Menggunakan format kalah mati dan perlawanan timbal balik seawal pusingan pertama, Kedah (juara bertahan), Selangor (naib juara musim sebelumnya), Terengganu dan Kuala Muda NAZA mendapat bye seawal pusingan pertama.

Perlawanan yang bermula pada akhir Januari ini disudahi dengan perlawanan akhir di antara Selangor
dan Kelantan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 25 April 2009. Selangor menjuarai Piala FA selepas memenangi penentuan sepakan penalti.

PIALA MALAYSIA 2009

20 pasukan layak bertanding untuk edisi ke-83 ini, di mana 14 pasukan daripada pasukan negeri, 4
pasukan daripada pasukan kelab terbaik (Johor FC, KL PLUS, Kuala Muda NAZA dan UPB-MyTeam) dan
2 pasukan daripada badan beruniform (PDRM dan ATM). Kesemua pasukan dikelompokkan dalam 5 kumpulan, di mana 5 juara kumpulan dan 3 pasukan terbaik dari naib juara kumpulan layak ke suku
akhir.

Perlawanan akhir mempertemukan Kelantan dengan Negeri Sembilan, dan Negeri Sembilan
menjulang piala untuk kedua kalinya dalam sejarah.

RUMUSAN

Selepas 10 tahun, Liga Super dan Liga Perdana sebagai liga divisyen 1 dan 2 kini berjumlah 12 pasukan setiap divisyen. Liga FAM bukan menjadi liga divisyen 3, namun menjadi perlawanan piala kalah mati untuk liga divisyen 3 dan 4 (Liga M3 dan M4). Berbanding 10 tahun lepas, kini Liga Super dibarisi pasukan baru seperti PJ City dan PKNP. PJ City yang merupakan nama baru bagi MISC-MIFA.

Begitu juga di Liga Perdana 2019, di mana pasukan-pasukan baru seperti Selangor United dan UKM FC
kini bersaing. Bagi Selangor United, ini merupakan musim sulung mereka bersaing di Liga Perdana.

Untuk Liga M3 2019 pula, jika 15 pasukan yang menjadi juara Liga M5 bergabung dengan 4 pasukan
Liga FAM 2018, bermakna akan ada 19 pasukan yang bakal bersaing di Liga M3 musim ini. Di antara
15 pasukan tersebut, hanya Syarikat Air Melaka Berhad (Liga Melaka Divisyen 1), Penjara (Piala
Presiden PBNS), Kuantan FA (Piala Sultan Pahang) dan Tentera Darat (Liga Super KLFA) pernah bersaing di Liga FAM.

Nota: Artikel mengenai #10YearsChallenge ini ditulis oleh Saudara Ariff Ansaruddin. Beliau merupakan tenaga pengajar di salah sebuah institut pengajian awam (UKM Bangi) dan pernah menuntut di Universitas Indonesia, penyokong Negeri Sembilan FA dan UKM FC

Baca Juga: Piala Iflix Tambah Rencah Liga Malaysia

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *