18 Pemain Perlis Belum Menerima Tunggakan Gaji
- Liga Perdana
- Jan 15, 2019
- No comment
Isu tunggakan gaji pasukan Perlis nampaknya masih belum menemui titik noktah. Baru-baru ini, seramai 18 pemain skuad Singa Utara meminta majikan mereka untuk melunaskan gaji yang telah dijanjikan sebelumnya.
Menurut laporan Utusan Malaysia, 18 pemain yang berusia 26 hingga 30 tahun itu mendakwa mereka masih belum menerima tunggakan gaji musim 2018 dan gaji bagi musim 2019 seperti dijanjikan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA).
Berdasarkan kontrak yang ditandatangani mereka bersama PFA berkuat kuasa 1 Disember lalu, 18 pemain ini sepatutnya menerima tunggakan gaji antara empat hingga tujuh bulan. Namun, janji hanya tinggal janji.
Lebih menyedihkan, mereka terpaksa membuat kerja-kerja sampingan bagi meneruskan hidup dimana ada yang bekerja sebagai nelayan, buruh kasar, cuci kereta dan berniaga kecil-kecilan.
Kesabaran mereka akhirnya sampai ke penghujungnya apabila tampil membuat sidang akhbar bagi menuntut penjelasan daripada majikan mereka dan menuntuk hak yang sepatutnya mereka terima, meskipun menyedari risiko yang bakal dihadapi kelak.
Berdasarkan kontrak, tunggakan itu akan dibayar bersama gaji pada 7 Januari lalu secara berperingkat-peringkat.
Wakil kumpulan pemain itu, Fahmi Izzarin Mustafa, 24, berkata, kesemua mereka sebelum ini telah menandatangani kontrak mewakili Perlis Northern Lions 2, berkuat kuasa 1 Disember lalu.
“Situasi itu yang menyebabkan para pemain kini dalam dilema kerana tidak boleh bermain dengan pasukan lain, manakala untuk terus kekal dalam pasukan pula, gaji tidak dibayar.
“Lebih menyedihkan, dikatakan kini terdapat pasukan lain yang sudah menggantikan kami untuk mewakili Perlis Northern Lions 2,” katanya.
Tambah Fahmi, para pemain dikehendaki untuk menjalani latihan di ibu negara bermula 2 Januari lalu. Namun, ketiadaan wang bagi menampung kos perjalanan dan penginapan membuatkan mereka gagal untuk hadir.
“Pihak pengurusan tidak menyediakan pengangkutan dan penginapan, minta pendahuluan pun tidak dilayan, jadi bagaimana kami hendak turun berlatih.
Menurut Fahmi lagi, pemain sudah banyak kali merujuk perkara itu kepada pihak atasan PFA, tetapi Presiden, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie menyatakan ia akan diselesaikan pengurusan.
“Daripada satu tarikh ke satu tarikh, kini sampai bila lagi kami perlu menunggu. Mengikut kontrak, tunggakan gaji dan gaji musim baharu akan dibayar pada 27hb sehingga 7hb setiap bulan, tetapi sampai sekarang masih belum dapat,” jelasnya.
Baca Juga: Faris Ramli Sah Sertai Perlis Northern Lions