Sudah menjadi kebiasaan apabila sesebuah liga menuju ke penghujungnya, desas-desus tentang perpindahan pemain sudah mulai kedengaran. Tidak kiralah berita tentang pemain yang akan dilepaskan atau pemain yang akan dibawa masuk. Liga Malaysia juga tidak terlepas dari drama perpindahan pemain ini.

Dalam penulisan kali ini, kami akan kongsikan LIMA pemain muda yang sepatutnya menjadi buruan pasukan-pasukan besar dalam Liga Malaysia. Ini merupakan bahagian yang pertama.

1. Adam Nor Azlin
Nama Adam Nor Azlin mulai mendapat perhatian selepas persembahan cemerlang beliau dalam kempen Sukan SEA 2017 baru-baru ini. Adam beraksi cemerlang di bahagian pertahanan bersama Irfan Zakaria dan Adib Zainuddin. Beliau sangat berkesan dalam mencari gol ketika situasi bola mati. Selain itu, beliau juga bijak untuk mematahkan serangan dari pihak lawan. Kami pasti ramai pasukan-pasukan besar dalam Liga Malaysia mahukan khidmat beliau.

2. N.Thanabalan
Siapa yang tidak kenal dengan penyerang Felcra FC ini. Sama seperti Adam Nor Azlin, nama Thanabalan mula menjadi bualan ramai setelah mempamerkan prestasi yang cemerlang pada Sukan SEA 2017 lalu. Mempunyai penyudah yang tajam serta kehadiran beliau mampu memberi ancaman kepada pintu gol lawan, pastinya Thanabalan ada dalam senarai wajib pasukan-pasukan besar dalam Liga Malaysia.

3. Nor Azam Azih
Persembahan cemerlang beliau ketika mengemudi jentera tengah pasukan Malaysia dalam Sukan SEA 2017 lalu telah menaikkan saham pemain yang beraksi buat Pahang dalam saingan Liga Malaysia ini. Pemain berusia 22 tahun ini juga dicanang sebagai pengganti kepada Safiq Rahim dalam skuad kebangsaan. Sudah pasti beberapa pasukan berminat untuk mendapatlan khidmat beliau.

4. Syahmi Safari
Nama Syahmi Safari mula menjadi perhatian apabila prestasi cemerlang beliau bersama Selangor musim ini. Meskipun tidak mendapat peluang yang cukup ketika Sukan SEA lalu, namun nama Syahmi sepatutnya dalam senarai beli pasukan besar dalam Liga Malaysia. Beliau boleh bermain di sayap kanan dan juga di bahagian tengah. Satu kelebihan yang boleh dimanfaatkan oleh pasukan di Liga Malaysia.

5. Irfan Zakaria
Pemain yang beraksi bagi Kuala Lumpur ini nyata merupakan tunjang penting dalam kempen Sukan SEA 2017 lalu. Gandingan beliau bersama Adam Nor Azlind dan ketua pasukan, Adib Zainuddin telah berjaya membawa Malaysia mara ke perlawanan akhir. Pemain berusia 22 tahun ini boleh bermain sebagai pemain tengah dan juga pemain pertahanan. Satu pakej yang lengkap yang dimiliki oleh pemain ini.

Leave a Reply