2018 Tahun Terbaik Bola Sepak Asia Tenggara

Pasukan dari rantau Asia Tenggara mula menampilkan kebangkitan kebelakangan ini apabila berjaya beraksi dengan cemerlang dalam temasya besar seperti Sukan Asia yang sedang berlangsung ketika ini dan AFC Bawah 23 Tahun pada awal tahun 2018.

Pasukan Vietnam bawah 23 tahun mengejutkan ramai pihak apabila mereka berjaya melangkah ke perlawanan akhir temasya AFC Bawah 23 Tahun yang berlangsung di China pada awal tahun ini. Mereka menewaskan Australia B-23 dan menduduki tempat kedua di belakang Korea Selatan dalam kumpulan D.

Di peringkat suku akhir, Vietnam menewaskan pasukan Iraq menerusi penentuan sepakan penalti dan pasukan bimbingan Park Hang-seo ini sekali lagi betuah ketika penentuan sepakan penalti dengan menyingkirkan pasukan Qatar.

Akan tetapi, pada perlawanan akhir mereka terpaksa tunduk kepada pasukan Uzbekistan selepas Andrey Sidorov berjaya menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan.

Satu lagi pasukan Asia Tenggara ialah pasukan bawah 23 tahun negara kita. Sama seperti Vietnam, tiada siapa yang menyangka pasukan bimbingan Datuk Ong Kim Swee mampu untuk melangkah ke peringkat suku akhir temasya AFC Bawah 23 Tahun.

Selain itu, kejayaan menewaskan Korea Selatan pada perlawanan peringkat kumpulan Sukan Asia 2018 juga tidak disangka-sangka kerana persediaan pasukan negara yang sedikit terjejas dan kualiti yang dimiliki pasukan Korea Selatan jauh lebih baik berbanding Malaysia.

Pencapaian dua pasukan ini sememangnya menjadi indikasi bahawa pasukan dari rantau Asia yang lain tidak boleh mengambil mudah cabaran yang bakal diberikan oleh pasukan dari rantau Asia Tenggara. Ini kerana mereka juga mempunyai kualiti untuk mencipta kejutan.

Ketika ini, Malaysia dan Vietnam telahpun mengesahkan tempat mereka di peringkat kalah mati temaysa Sukan Asia 2018. Jika kedua-dua pasukan mampu untuk mengekalkan momentum semasa, tidak mustahil Malaysia dan Vietnam mampu untuk mara dengan lebih jauh.

Malah, pada masa akan datang tidak mustahil kita akan melihat lebih ramai pasukan dari Asia Tenggara mengambil bahagian pada saingan Piala Asia dan mungkin juga temasya Piala Dunia.

Baca Juga: Harimau Muda Berpeluang Jadi Juara Kumpulan

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *