Sumber Gambar: deenamik.com

Kekalahan kedua pasukan Selangor dalam saingan Liga Super musim ini nytata membangkitkan amarah peminat setia mereka. Mana tidaknya, kesilapan sama ketika tewas kepada Terengganu FC tempoh hari berulang kembali. Barisan pertahanan dan juga tengah dilihat agak bergelut pada perlawanan semalam. Kami berpendapat P.Maniam harus mempunyai “backup plan” untuk memastikan Selangor kembali mengutip kemenangan.

Kerapuhan benteng pertahanan Selangor dihukum sejak awal permainan oleh barisan serangan Pahang yang dilihat sangat bertenaga. Paling ketara adalah kegagalan dua “wing back” Selangor iaitu K.Kannan dan Syahmi Safari untuk menyekat kemaraan Chan Vathanaka dan juga Muhamadou Sumareh. Barisan tengah Selangor juga lambat untuk “track down” bagi membantu barisan pertahanan Selangor ketika diserang. Hanya barisan serangan Selangor yang dilihat “hidup” semalam. Formasi 3-4-3 juga dilihat sudah tidak sesuai digunakan. Mungkin P.Maniam boleh menggunakan formasi yang berbeza pada perlawanan akan datang.

Pemain tengah import Selangor, Alfonso De La Cruz menjadi pemain yang menerima kritikan hebat daripada peminat. Memang tidak dinafikan permainan beliau pada perlawanan semalam tidak begitu memberangsangkan. Mungkin pada perlawanan akan datang, P.Maniam boleh meletakkan beliau di posisi pertahanan di samping Willian Pacheco kerana itulah posisi murni beliau ketika bermain di Liga Sepanyol. Di bahagian tengah, Maniam boleh meletakkan Evan Dimas dan Saiful Ridzuwan. Kedua-dua pemain ini mempunyai kualiti hantaran dan juga kawalan rumah yang baik.

Bagi pasukan Pahang, permainan mereka semalam menunjukkan mereka sedia untuk menjadi pasukan bagi mencabar mahkota kejuaraan Liga Super. Kami tertarik dengan dua pemain sayap mereka iaitu Muhamadou Sumareh dan Chan Vathanaka. Larian pantas dan juga gelecekkan kedua-dua pemain ini nyata memberikan ancaman kepada pertahanan lawan. Kami berpendapat kedua-dua pemain ini merupakan pemain sayap terbaik dalam Liga Malaysia ketika ini. Menarik untuk kita saksikan bagaimana persembahan kedua-dua pemain ini pada perlawanan akan datang.

Itu saja pendapat kami mengenai jurulatih Selangor dan juga prestasi pasukan Pahang ketika ini. Bagi Selangor, ada banyak kerja rumah yang harus diperbaiki. Bagi Pahang, kekalkan momentum seperti perlawanan semalam.

Leave a Reply