• Setiap kelab bola sepak pasti mempunyai hasrat untuk terus berkesinambungan dari satu generasi ke satu generasi. Kenangan dan kekayaan sejarah inilah yang menjadi ukuran kemasyhuran sesebuah kelab, apatah lagi jika lorong-lorong kenangan ini terukir dengan kejayaan beserta pelbagai piala dan kejuaraan.

    Antara faktor yang tentunya menjadi teras kepada kesinambungan ini ialah kelestarian kewangan yang sering menjadi cabaran besar kepada kelab-kelab kerdil yang masih mencari model bisnes yang sesuai. Acapkali, kita mendengar isu kewangan sebagai punca kekalutan sesebuah pasukan. Daripada isu tidak membayar gaji dan bonus para pemain, tidak membayar caruman KWSP, sewa stadium dan bangunan, dan sebagainya. Perkara ini diburukkan dengan kedangkalan ilmu pengurusan bola sepak bagi sesetengah pasukan yang akhirnya boleh menghancurkan sesebuah legasi.

    Walaupun sebenarnya luas untuk dikupas, di dalam artikel ini kita akan menyentuh empat cara untuk sesebuah kelab bola sepak mula mengisi kantung mereka.

    1. Mewujudkan Nilai Sebagai Aset Kelab.

    Walaupun bunyinya mudah dan ringkas, isu nilai di dalam sesebuah kelab bola sepak sering dipandang sepi oleh pengurusan kelab. Nilai ini mengambil rupa penjenamaan sesebuah kelab, beserta ihsan (goodwill) dan falsafah di sebalik kelab tersebut. Nilai ini harus dipupuk, dijaga dan dikomersilkan secara berperancangan agar dapat menyumbang kepada kantung pasukan. Sebagai contoh, motto pasukan ‘Hoben Jang Hoben’ dan ‘Ngap Sayot’ adalah suatu ungkapan yang sinonim dengan pasukan Negeri Sembilan dan Sarawak persis You’ll Never Walk Alone di Liverpool. Bukankah ungkapan ini di atas sehelai kemeja-T boleh mendatangkan dana untuk pasukan tersebut?

    2. Melabur Di Dalam Aset Kelab

    Andai ditanya kepada sesebuah pengurusan kelab: apakah aset utama kelab anda? Saya fikir hampir pasti mereka akan buntu sejenak jika tidakpun menjawab “Para pemain kami”. Hakikatnya, rata-rata kelab bola sepak di negara kita tidak mempunyai pelan pelaburan aset, apatah lagi aset yang boleh menjana pendapatan untuk kelab. Budaya kontrak setahun yang diamalkan di Malaysia tidak mempunyai nilai dan bukanlah satu aset. Perancangan pelaburan kelab yang mantap pasti mempunyai elemen-elemen seperti pemilikan stadium dan padang latihan sendiri, penjualan tiket bermusim yang tinggi, pewujudan kedai-kedai barangan berlesen, pemilikan kontrak panjang pemain, pemilikan penajaan pelbagai dan sebagainya. Berkelana di negeri sendiri sebagai contoh, bukanlah ciri sebuah kelab bola sepak yang mantap daripada segi pengurusan aset mereka.

    3. Bina Hubungan Rapat Berjangka Masa Panjang Dengan Pemegang Taruh Kelab

    Sebagai sebuah entiti yang memerlukan urusniaga kewangan untuk terus beroperasi dan berkembang, sebuah kelab perlu maklum tentang siapa pemegang taruh mereka. Pandangan myopik pengurusan kelab mungkin melihat penyokong dan badan penyelia seperti FAM dan FMLLP sahajalah sebagai pemegang taruh namun jika diamati daripada segi kewangan, pihak bank dan penaja tampak mempunyai hubungan yang tidak kurang pentingnya. Bantuan overdraf untuk membayar perbelanjaan pemain serta suntikan dana penajaan untuk tempoh masa panjang adalah di antara kelebihan yang boleh dipetik daripada hasil hubungan akrab jangka masa panjang di antara sesebuah kelab dengan pemegang taruh mereka.

    4. Ambil Kesempatan Ke Atas Teknologi Yang Ada

    Evolusi sesebuah kelab lazimnya memerlukan inovasi bagi ia berkembang secara positif. Inovasi ini pula selalunya menggunakan kecanggihan teknologi dan wujud dalam pelbagai aspek, contohnya penggunaan AV dalam analisis permainan dan latihan, penggunaan papan iklan LED dan hamparan sintetik di stadium, penggunaan platform dalam talian bagi penjualan tiket dan barangan kelab serta penggunaan tiket RFID, dan lain-lain. Sesebuah kelab yang mahu kukuh kantung mereka pastinya tidak akan melepaskan peluang mengambil kesempatan ke atas perkembangan teknologi ini.

    Jika empat perkara ini diadun dengan mengambil tauladan daripada kelab bola sepak yang masyhur, maka tidak menjadi sangkalan bahawa ini kelak adalah pecontoh yang baik untuk kelestarian kewangan kelab tersebut.

    Nota: Artikel ini ditulis oleh Hassan Anas. Jika anda ada artikel yang mahu dikongsikan dengan kami, jangan segan-segan untuk menghubungi kami di media sosial Inikan Bola.

    Baca Juga: Masalah Gaji Lagi Ke ?

    (Visited 91 times, 1 visits today)

    Leave a comment

    Your email address will not be published.