• Jika kita bercakap mengenai pemain legenda pasukan Selangor, nama seperti Almarhum Mokhtar Dahari, mendiang R.Arumugam dan Datuk Soh Chin Aun akan muncul di setiap pemikiran peminat bola sepak Malaysia. Namun, ada satu nama yang tidak boleh ditinggalkan di sini. Nama tersebut ialah Mohd Amri Yahyah atau yang lebih sinonim dengan panggilan Wak Am. Meskipun pernah meninggalkan Selangor untuk menyertai pasukan Johor Darul Ta’zim dan Melaka United, namun pada akhirnya beliau kembali juga ke pangkuan pasukan Selangor. Pada perlawanan menentang Pahang sabtu ini, Wak Am berpeluang untuk mencipta sejarah sebagai pemain yang mempunyai penampilan kedua terbanyak utuk pasukan Selangor di belakang mendiang R.Arumugam.

    Laman Wikipedia Selangor menyatakan bahawa Amri Yahyah ketika ini mempunyai 374 penampilan, kurang satu dibelakang penyerang legenda pasukan, Almarhum Mokhtar Dahari yang mempunyai 375 penampilan. Anda boleh lihat senarai penuh dibawah.

    Sumber Gambar: Wikipedia

    Selain Amri Yahyah, dalam senarai tersebut juga kelihatan ketua pasukan Selangor ketika ini, Razman Roslan yang mempunyai 296 penampilan. Dalam senarai tersebut juga terdapat bekas ketua pasukan Selangor iaitu Safiq Rahim dan juga Bunyamin Umar selain bekas pemain pertahanan, P.Gunalan.

    Jika Amri berjaya mengekalkan aksi konsisten musim ini, tidak mustahil beliau mampu untuk memecahkan rekod penampilan yang ketika ini dipegang oleh mendiang R.Arumugam. Jika beliau berjaya memecahkan rekod penampilan tersebut, ini akan meletakkan Amri dalam kelas legenda yang tersendiri.

    Sama ada tepat atau tidak statistik yang dikeluarkan oleh Wikipedia mengenai rekod penampilan pasukan Selangor, itu kami juga tidak pasti. Tetapi, ini adalah permasalahan yang harus kita hadapi. Peminat akan mengalami sedikit masalah apabila mereka ingin mendapatkan maklumat seperti rekod penampilan, jumlah jaringan dan juga arkib tentang pasukan. Mungkin masalah ini boleh diperbaiki oleh pihak FMLLP dan juga FAM. Ini untuk memudahkan peminat dan juga portal berita seperti kami untuk mendapatkan maklumat mengenai pencapaian dan juga rekod peribadi pemain Liga Malaysia.

    Apa pendapat anda mengenai pencapaian Amri Yahyah bersama pasukan Selangor ? Mampukah beliau memecah rekod mendiang R.Arumugam dan menjadi pemain dengan penampilan terbanyak dalam sejarah pasukan Selangor ? Sama-sama kita saksikan.

    Baca Juga: 5 Detik Menarik Pertembungan Antara Pasukan Selangor dan Pahang

    Leave a comment

    Your email address will not be published.