• Bahang Liga Malaysia semakin mendekat. Dalam kiraan beberapa hari lagi, wisel pengadil menandakan musim 2018 telah bermula. Musim 2018 ini menyaksikan PKNP akan memulakan debut di Liga Super, begitu juga dengan UKM FC dan FELCRA yang memulakan musim pertama di Liga Premier. Semenjak penubuhan Liga Super dan Liga Premier, hanya 3 kali musim dimulakan pada akhir tahun dan berakhir pada pertengahan tahun, iaitu pada musim 2005-06 (Disember 2005 –
    Mei 2006), 2006-07 (Disember 2006 – Ogos 2007) dan 2007-08 (November 2007 – Ogos 2008). Liga Super dan Liga Premier tahun ini merupakan musim ke 15 semenjak era penubuhannya.Liga Super ditubuhkan berikutan keputusan FAM untuk menswastakan liga. Disebabkan itu, MSL Sdn Bhd diwujudkan bagi mengawasi aspek pemasaran liga, namun ianya belum
    diswastakan sepenuhnya sehingga tahun 2015 apabila FMLLP dicipta semasa penswastaan sistem liga bolasepak Malaysia. Liga Super melihat banyak perubahan dalam format dari 8 pasukan kepada 14 pasukan untuk mengakomodasi perubahan peraturan-peraturan liga dan penarikan pasukan-pasukan tertentu dari liga untuk mewujudkan persekitaran yang
    kompetitif dan pengurusan profesional di kalangan kelab. Secara tidak langsung, jumlah pasukan di dalam Liga Premier juga berubah.

    PRA LIGA SUPER DAN LIGA PREMIER (LIGA PERDANA 1 DAN 2)

    Di akhir musim 2003, kasta tertinggi liga bolasepak Malaysia adalah Liga Perdana 1, dengan 13 buah pasukan ikut serta selepas NS Chempaka menarik diri pada awal musim tersebut. Perak menjadi juara Liga Perdana 1 dan mewakili negara di dalam kejohanan sulung Piala AFC 2004, bersama-sama dengan Negeri Sembilan yang menjadi juara Piala FA.
    Public Bank FC pula menjadi juara Liga Perdana 2, dengan 12 buah pasukan ikut serta. Thang Kiang Nam Perak menarik diri selepas tamat musim 2003 dan kembali ke liga negeri Perak. PKNS FC dan MK Land FC dinaikkan ke Liga Premier 2004 selepas menjadi juara dan naib juara Piala FAM musim 2003.

    MUSIM 2004 (MUSIM SULUNG LIGA SUPER DAN PREMIER)

    Musim pertama Liga Super ini ditaja oleh syarikat Dunhill – musim terakhir syarikat tembakau menaja sesebuah entiti bolasepak sebelum diharamkan. Dengan musim baru Liga Super 2004 akan bermula, 8 pasukan akan bermain di Liga Super, sementara baki pasukan lain akan bermain di Liga Premier yang dipecah kepada Liga A dan Liga B. 8 pasukan tersebut
    adalah :
    – pasukan di tangga 1 sampai 6 Liga Perdana 1 akan layak secara automatik
    – pasukan di tangga 7 sampai 10 Liga Perdana 1 dan tangga 1 sampai 4 Liga Perdana 2 akan memasuki perlawanan play off, di mana Sarawak (wakil Liga Perdana 1) dan Public Bank (wakil Liga Perdana 2) layak.

    Liga Super 2004 ini bermula pada 14 Februari dan berakhir pada 3 Ogos 2004, menyaksikan Pahang menjuarai musim sulung liga. Pahang juga layak bermain di Piala AFC 2005 dan Kejohanan Kelab ASEAN 2005 – kejohanan yang telah dimansuhkan pada musim tersebut selepas penganjuran kali kedua. Indra Putra Mahayuddin menjaringkan 15 gol dan
    dianugerahkan kasut emas – satu-satunya pemain tempatan yang mendapat kasut emas semasa pemain import bermain di liga bolasepak Malaysia. Sarawak dan Kedah tersingkir ke Liga Premier 2005. Untuk Liga Premier 2004 pula, TMFC dan MPPJ menjuarai liga masing-masing dan dinaikkan ke Liga Super 2005. JPS Kelantan dan Kelantan diturunkan ke Piala FAM 2005 dan digantikan oleh Suria Nibong Tebal dan UPB Jenderata yang menjadi juara dan naib juara Piala FAM
    2004. Kelantan adalah pasukan negeri pertama yang tersingkir dari Liga Premier dan bermain di Liga FAM.

    MUSIM 2005 (TREBLE SELANGOR)

    Musim kedua Liga Super ini ditaja oleh Telekom Malaysia, menyaksikan TMFC memulakan debutnya di Liga Super. Musim ini menyaksikan jumlah pasukan di Liga Premier dikurangkan kepada 8 pasukan setiap kumpulan berbanding 9 pasukan pada musim sebelumnya. Perlis menjuarai Liga Super dan mewakili negara dalam Piala AFC 2006 bersama-sama Selangor,
    yang menjuarai Piala FA. Selangor juga menjuarai Liga Premier dan Piala Malaysia, menjadikan pasukan pertama yang berjaya meraih treble.

    Public Bank dan MK Land menarik diri daripada Liga Malaysia menyebabkan FAM menggantung penyertaan pasukan tersebut. Melaka dan PDRM yang menamatkan Liga Premier di tempat terbawah dikekalkan untuk musim berikutnya bagi mencukupkan kuota Liga Premier, begitu juga dengan TMFC yang dikekalkan untuk Liga Super musim mendatang. Kelantan dan Shahzan Muda FC layak ke Liga Premier selepas menjadi juara dan naib juara Piala FAM.

    MUSIM 2005-06 (MUSIM TERAKHIR 8 PASUKAN LIGA SUPER)

    Musim ini merupakan musim terakhir jumlah pasukan di Liga Super sebanyak 8 pasukan. FAM bercadang untuk mengembangkan Liga Super menjadi 14 buah pasukan pada musim akan datang. Pada musim ini, penyertaan Brunei digantikan dengan Duli Pengiran Muda Mahkota (DPMM). Musim ini juga merupakan musim pertama liga bermula pada akhir
    tahun. Perlawanan pertama liga di antara Selangor dan Perak merupakan perlawanan Piala Sultan Haji Ahmad Shah atau Piala Sumbangsih, di antara pemenang Piala FA dan Piala Malaysia musim lepas. Pada musim ini, perlawanan Piala Sumbangsih diadakan pada perlawanan liga, tidak seperti musim-musim sebelumnya. Selain itu, Piala Sumbangsih
    mempertemukan pemenang Piala FA dan Piala Malaysia musim sebelumnya. Pahang dan Selangor yang menamatkan Liga Super di kedudukan terbawah memasuki perlawanan play off dengan 6 pasukan dari Liga Premier. 4 pasukan yang memenangi
    perlawanan pertama akan layak ke Liga Super 2006-07, sementara 4 pasukan yang kalah akan berlawan sesama sendiri untuk merebut 2 tempat terakhir ke Liga Super 2006-07. Pada akhirnya, PKNS dan Sabah akan bersaing di Liga Premier 2006-07. MPPJ menarik diri pada akhir musim 2005-06, menyebabkan jumlah pasukan Liga Super pada rancangan asalnya
    sebanyak 14 pasukan menjadi 13 pasukan.

    Suria Nibong Tebal dan TNB Kelantan menarik diri dari Liga Premier, sementara itu ATM, Kuala Muda NAZA dan PLUS FC layak ke Liga Premier berdasarkan naib juara dan pasukan separuh akhir Piala FAM 2006 selepas juara Piala FAM 2006, Pasir Gudang United FC digabungkan dengan Johor FA bagi menguatkan pasukan, sehingga pasukan Johor FA dinamakan sebagai Johor-Pasir Gudang.

    MUSIM 2006-07 (MUSIM PERTAMA 13 PASUKAN LIGA SUPER, MUSIM PERTAMA LIGA PREMIER SATU KUMPULAN)

    Pada musim 2006-07 ini juga, Liga Premier digabung menjadi satu kumpulan, berjumlah 11 pasukan. UPB menukar nama menjadi UPB-MyTeam selepas penggabungan dengan rancangan akademi keluaran TV3 yang digilai pada tahun tersebut.

    Kedah mengukuhkan kuasa bolasepaknya apabila menjuarai Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia musim ini, menjadikan pasukan Kedah sebagai pasukan kedua selepas Selangor yang menjuarai treble (sekiranya Liga Super menjadi penanda aras treble, maka Kedah merupakan pasukan pertama meraih treble berbanding Selangor yang meraih treble dengan Liga Premier). Melaka tersingkir dari Liga Super dan digantikan oleh PDRM dan UPBMyTeam
    dari Liga Premier. Telekom Malaysia mengemukakan permohonan untuk TMFC bagi menarik dari Liga Malaysia kepada FAM, disebabkan Telekom Malaysia memutuskan untuk menyusun semula kedudukannya dalam menyumbang kepada pembangunan sukan negara dari perspektif penajaan berbanding dengan memiliki dan menjalankan sebuah kelab bola sepak. Tiada penyingkiran dari Liga Premier bagi mengembang jumlah pasukan kepada 13 pasukan. Pasukan-pasukan dari Piala FAM 2007 iaitu Proton FC (juara), Beverly FC (naib juara), DBKL dan Felda United (separuh akhir) akan bertanding pada Liga Premier musim hadapan.

    Nantikan sambungan artikel ini ya!

    *Nota: Artikel ini ditulis oleh Ariff Ansaruddin. Jika anda ada artikel yang mahu dikongsikan dengan kami, jangan segan-segan untuk menghubungi kami di media sosial Inikan Bola.

    Baca juga: Berdamailah Demi Pasukan Tercinta

    Leave a comment

    Your email address will not be published.