• Sebelum ini kami telah berkkongsi kepada anda sejarah penubuhan Liga Super dan Liga Perdana (Bahagan1). Kali ini, kami akan berkongsi dengan anda, peminat bola sepak Malaysia, sambungan daripada artikel tersebut.

    MUSIM 2007-08 (DOUBLE TREBLE KEDAH, MUSIM TERAKHIR 13 PASUKAN LIGA SUPER)

    Musim ini merupakan musim sulung Harimau Muda menyertai Liga Premier bagi persediaan kejohanan wakil negara, di mana pemain Harimau Muda dibarisi pemain Malaysia bawah 22 tahun. Beverly FC dan DBKL yang dijadualkan bertanding pada Liga Premier terpaksa menarik diri.

    Musim ini juga membuktikan penguasaan Kedah sebagai raja bolasepak Malaysia apabila mengekalkan ketiga-tiga kejuaraan musim lepas, sekaligus menjadikan Kedah pasukan pertama mempertahankan Liga Super. Pada asalnya hanya 2 pasukan yang akan dinaikkan ke Liga Super, namun FAM memutuskan untuk mempromosikan Kelantan sebagai pasukan tempat ketiga untuk mengimbangi jumlah pasukan untuk bersaing dalam Liga Super dan Liga Perdana sebanyak 14 kelab musim hadapan. Keputusan ini juga menyebabkan ATM tidak akan diturunkan ke Liga FAM 2009, dan dua kelab dari Liga FAM, T-Team dan MBJB dinaikkan ke Liga Premier musim mendatang sebagai juara dan naib juara Liga FAM 2008 –musim pertama kejohanan Liga Bolasepak Malaysia divisyen ketiga diubah format kepada liga.

    MUSIM 2009 (MUSIM SULUNG 14 PASUKAN LIGA SUPER)

    Musim ini menyaksikan pasukan paling banyak menyertai Liga Super selepas sebelumnya usaha menjadikan 14 pasukan di Liga Super pada musim 2006-07 gagal kerana pasukan MPPJ menarik diri. Musim ini juga menyaksikan liga bermula pada awal tahun, bukan pada akhir tahun seperti 3 musim sebelumnya. Perubahan seterusnya berlaku apabila tiada lagi pemain import diambil oleh pasukan yang bertanding, menjadikan pasukan yang bertanding adalah 100% anak jati Malaysia.

    Musim ini juga merupakan musim pertama tanpa kehadiran pasukan dari luar Malaysia, apabila DPMM dikecualikan oleh penggantungan FA Brunei (BAFA) pada 15 November 2008 kerana kegagalan mematuhi peraturan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) bersama 54 belia, persatuan kebajikan dan sukan lain di Brunei secara konkrit, kerana gagal mengemukakan laporan mesyuarat agung tahunannya. Kemudiannya, DPMM berjaya mendaftar untuk S-League.

    Selangor berjaya menjadi juara Liga Super, serta turut menjuarai Piala FA selepas mengalahkan juara bertahan, Kelantan sehingga penentuan sepakan penalti. Oleh itu, Selangor merupakan pasukan pertama yang meraih double (sebelum JDT meraih triple double pada musim 2015-17)

    Kelab dari Pulau Pinang, Sinar Dimaja Mai Sarah Kepala Batas dinaikkan dari Liga FAM 2008 sebagai tempat ketiga bagi menggantikan MBJB yang menarik diri sebelum Liga Premier 2009 bermula. Harimau Muda berjaya membuktikan kebolehan mereka sekaligus mengelak daripada dibubarkan oleh FAM apabila berjaya menjadi juara Liga Premier musim tersebut dengan merekodkan 2 kekalahan di bawah Dato’ Ong Kim Swee. Namun disebabkan status Harimau Muda sebagai pasukan pengembangan skuad bawah 22 tahun, maka pasukan di tangga kedua dan ketiga Liga Premier dinaikkan ke Liga Super musim 2010.

    Disebabkan Kuala Muda NAZA dan UPB-MyTeam menarik diri di penghujung musim, maka bagi mengekalkan jumlah pasukan di dalam Liga Super, maka hanya PDRM disingkirkan ke Liga Premier 2010 dan Kuala Lumpur sebagai tempat keempat Liga Premier 2009 dinaikkan bersama-sama dengan T-Team dan Johor.

    Dari Liga FAM 2009, Pos Malaysia sebagai juara berjaya menggantikan tempat SDMS Kepala Batas. Bagi mencukupkan kuota Liga Premier, maka pasukan di tangga ketiga, USM FC dan MP Muar FC di tempat keempat dinaikkan ke Liga Premier musim hadapan. Pasukan naib juara Liga FAM 2009, KSK Tambun Tulang tidak naik ke Liga Premier disebabkan masalah kewangan. Sedikit maklumat am, pemenang anugerah Puskas, Mohd Faiz Subri bermain di KSK Tambun Tulang pada musim ini.

    MUSIM 2010 (DOMINASI SELANGOR)

    Musim ini mengembalikan penguasaan Selangor sebagai pasukan yang pernah merajai bolasepak negara, apabila mengekalkan kejuaraan Liga Super – menjadikan Selangor pasukan kedua mempertahankan kejuaraan liga.

    Penyingkiran Melaka ke Liga FAM bermakna Melaka merupakan pasukan negeri kedua selepas Kelantan yang tersingkir dari Liga Premier dan bermain di Liga/Piala FAM. Turut mengiringi Melaka adalah pasukan kelab dari Pahang, Shahzan Muda. USM FC merupakan pasukan pertama dari universiti awam yang berjaya layak ke Liga Premier musim ini.

    Pada akhir musim 2010, PLUS FC menarik diri daripada saingan liga bolasepak Malaysia berikutan keputusan PLUS Expressway untuk penstrukturan semula syarikat tersebut. Sime Darby FC dan Sinar Dimaja Mai Sarah Kepala Batas FC muncul sebagai juara dan naib juara Liga FAM musim tersebut bagi menggantikan Melaka dan Shahzan Muda.

    MUSIM 2011 (MUSIM TANPA PENAJA)

    Musim ini menjadi musim pertama Telekom Malaysia menarik diri daripada penaja utama Liga Super dan Premier. Musim ini menyaksikan penguasaan pasukan pantai timur mendominasi bolasepak Malaysia, apabila Kelantan dan Terengganu menjadi juara dan naib juara Liga Super, selain Terengganu juga menjuarai Piala FA selepas mengalahkan Kelantan di perlawanan akhir. Siapa yang tidak lupa jaringan sendiri Daudsu Jamaluddin hanya beberapa saat sebelum wisel penamat ditiup pengadil. Saya sebagai penulis masih teringat momen tersebut, apabila ‘menjerit ‘ kerana Terengganu berjaya menyamakan kedudukan sampaikan saya membaling kunci ke arah TV. Okay selingan dari penulis.

    Selepas PLUS FC menarik diri daripada Liga Super, dan kepulangan Harimau Muda A dari kem di Slovakia menyebabkan FAM bertindak menggantikan PLUS FC dengan Harimau Muda A. Harimau Muda B masih bermain di Liga Premier pada musim tersebut.

    Pulau Pinang menjadi pasukan negeri ketiga yang tersingkir ke Liga FAM selepas Kelantan (2004) dan Melaka (2009). Penyingkiran Pahang dan Perlis daripada Liga Super menjadikan Perak sebagai satu-satunya pasukan Liga Super asal yang kekal tanpa penyingkiran. PKNS dan Sarawak menggantikan Pahang dan Perlis di Liga Super, sementara itu NS Betaria FC (juara) dan MBJB FC (naib juara) berjaya dinaikkan dari Liga FAM 2011 ke Liga Premier 2012.

    MUSIM 2012 (KEMBALINYA SINGAPURA, MUSIM TERAKHIR 14 PASUKAN LIGA SUPER, TREBLE KELANTAN)

    Berikutan perjanjian antara FA Singapura dan FAM, Young Lions yang merupakan pasukan bawah 23 negara Singapura, akan menggantikan Harimau Muda A di Liga Super 2012, sementara itu Harimau Muda A mengambil kedudukan Young Lions di S-League. Young Lions kemudian digantikan oleh LionsXII.

    Musim ini menyaksikan ASTRO sebagai penaja utama selama 3 musim sehingga 2014. Musim ini juga menyaksikan 14 pasukan di Liga Super akan dikurangkan kepada 12 pasukan. Dua pemain import juga dibenarkan semula untuk digunakan oleh pasukan di Liga Super dan Premier – kecuali Lions XII yang menggunakan anak jati Singapura.


    Carta Liga Super 2012

    Kuala Lumpur tersingkir ke Liga Premier selepas menamatkan kedudukan liga di tangga terbawah. Pasukan SPA FC muncul juara Liga FAM 2012 dan dinaikkan ke Liga Premier 2013. Musim ini menyaksikan dua play off dianjurkan, di mana pasukan di tangga kedua sampai keempat terbawah Liga Super (Sabah, Kedah dan Sarawak) dengan pasukan naib juara Liga Premier (Pahang) merebut 1 tiket ke Liga Super 2013, serta pasukan di tempat ketiga sampai kelima terbawah Liga Premier (NS Betaria, MP Muar dan Harimau Muda B) dengan pasukan naib juara Liga FAM (Shahzan Muda FC) merebut 2 tiket ke Liga Perdana 2013. Namun disebabkan peraturan Harimau Muda B tidak dibenarkan dinaikkan atau diturunkan liga, maka pasukan tempat keenam terbawah liga iaitu Pos Malaysia menggantikan tempat Harimau Muda B.

    Selepas USM FC menarik diri pada akhir musim 2012, perlawanan play off di antara NS Betaria (tempat ketiga terbawah Liga Premier) dengan UiTM FC (tempat ketiga Liga FAM) diadakan, dan NS Betaria memenangkan perlawanan untuk kekal di Liga Premier 2013. Namun selepas USM FC menarik diri daripada Liga Premier musim hadapan, UiTM FC menggantikan pasukan universiti tersebut, menjadikan UiTM selaku pasukan universiti kedua yang bertanding di Liga Premier. Selepas MBJB dan MP Muar diserap menjadi JDT II oleh pasukan Johor, maka status Perlis dikekalkan di Liga Premier musim hadapan – walaupun Perlis dan MBJB sepatutnya diturunkan ke Liga FAM disebabkan menamatkan liga di kedudukan dua terbawah.

    Kelantan yang menjuarai Liga Super juga turut menjuarai Piala FA dan Piala Malaysia, menjadikan Kelantan sebagai pasukan ketiga selepas Selangor (Liga Premier) dan Kedah (double treble dengan Liga Super) meraih treble dalam semusim.

    Nantikan sambungan kepada artikel ini ya! Lepas ni kami akan keluarkan bahagian terakhir tau!

    Nota: Artikel ini ditulis oleh Ariff Ansaruddin. Jika anda ada artikel yang mahu dikongsikan dengan kami, jangan segan-segan untuk menghubungi kami di media sosial Inikan Bola.

    Leave a comment

    Your email address will not be published.