• Baru-baru ini penulis mengalami sedikit kecederaan lutut selepas bermain futsal. Untuk merawat lutut yang cedera itu, rakan penulis mencadangkan penulis untuk  membuat rawatan di An-Nas Rehab Centre di Bandar Bukit Raja bersama Nasrul Tajuddin, yang merupakan bekas fisioterapis Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

    Setelah penulis melihat-lihat akaun Instagram beliau, penulis terus membuat tempahan sesi dengan beliau, Alhamdulillah, ada satu sesi bersama beliau pada malam hari yang sama. Sampai sahaja di pusat rawatan, penulis ditegur oleh saudara Nasrul Tajuddin, atau nama pendek NTD.

    Berikut adalah sedikit temubual antara penulis dan saudara Nasrul.

    _________________________________________________________________________________________

    Soalan: Boleh ceritakan sedikit tentang latar belakang saudara Nasrul Tajudin?

    Nasrul Tajuddin (NTD): Nama penuh yang diberikan oleh kedua mak abah saya ialah Mohd Nasrul Bin Ahmad Tajuddin, dilahirkan pada 10 Ogos 1983 (35 tahun). Saya hanya ada 2 adik beradik, adik perempuan saya kini berusia 31 tahun. Abah saya dahulu bekerja sebagai Eksekutif di AIROD Sdn.Bhd (syarikat penerbangan) manakala mak saya berkhidmat sebagai surirumah tangga sepenuh masa. Saya bersekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Siputeh, Kodiang dan bersekolah menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Pauh, Jitra.

    Selepas tamat SPM saya menyambung pengajian di Universiti Teknologi MARA Shah Alam dalam Diploma Fisioterapi dan alhamdulillah diberi kesempatan untuk menyambung lagi pengajian dalam Bachelor of  Applied Science Rehabilitation (Physiotherapy) di Teeside University, United Kingdom dengan kerjasama UiTM. Saya telah mendirikan rumah tangga pada Februari 2008 dengan Azlinda Binti Abdul Hamid yang merupakan orang Dungun, Terengganu, juga merupakan salah seorang fisioterapis di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dan kami sehingga kini dikurniakan 3 orang cahaya mata iaitu Naufal Nadhil (9 tahun), Naufal Nahdan (7 tahun) dan Azra Amani (3 tahun).

    Soalan: Berapa lama saudara Nasrul Tajudin sudah bekerja dengan FAM? Pernah bekerja dengan mana-mana state team?

    NTD: Saya berkhidmat di FAM selama 13 tahun dan pernah berada di bawah 4 orang Setiausaha Agung FAM iaitu Dato’ Dell Akhbar Khan, Dato’ Seri Ibrahim Saad, Leftenan Jeneral (Bersara) Dato’ Seri Azzuddin Ahmad dan yang terakhir Dato’ Haji Hamidin Mohd Amin. Semasa di FAM, saya pernah menjadi Fisioterapis Pasukan untuk skuad Bolasepak Kebangsaan, skuad Bolasepak Harimau Muda – B23 / B22 / B21 / B20 / B19 / B17 / B15 / B13 / B12, skuad Bolasepak Wanita Kebangsaan, skuad Bolasepak Wanita (B16 / B14), skuad Futsal Lelaki Kebangsaan, skuad Futsal B20 dan skuad Futsal Wanita Kebangsaan.

    Saudara Nasrul duduk di barisan belakang, kiri sekali.

    Sebelum saya ditawarkan kerja di FAM, saya pernah bertugas sebagai Fisioterapis Kontijen SUKMA Selangor dan fisioterapis di dalam Sukan Paralimpik Malaysia dan fisioterapis bagi pasukan Tenis Berkerusi Roda (OKU).

    Soalan: Pengalaman menarik saudara NTD ketika mengikut perlawanan pasukan kebangsaan di luar negara?

    NTD: Dalam tempoh perkhidmatan selama 13 tahun, saya berjaya menjejakkan kaki hampir ke 40 buah negara ketika mana semuanya dalam tugasan sebagai fisioterapis pasukan. Tempoh paling singkat pernah ke luar negara adalah selama 3 hari dan tempoh paling lama yang pernah saya ke luar negara bersama pasukan Harimau Muda pada tahun 2013 di Eropah – Slovakia, Hungary, Austria, Rep.Czech iaitu selama hampir 6 bulan.

    Antara pengalaman menarik ketika berada di luar negara, saya dapat berjumpa dengan fisio-fisio dari negara luar dan bertukar-tukar pendapat serta ilmu dalam bidang fisioterapi yang boleh dikongsi bersama yang mana adakalinya tidak terdapat di dalam buku dan hanya diperolehi melalui pengalaman. Selain itu, saya dapat mempelajari sedikit sebanyak teknik-teknik rehabilitasi yang mana ilmunya dari timur dan barat saya gabungkan dan adunkan agar saya dapat membuat pemilihan rawatan yang terbaik untuk pemain-pemain di bawah seliaan dan pengawasan saya sebagai fisioterapis.

    Saudara Nasrul dalam salah satu persidangan yang dihadiri beliau.

    Ketika tahun 2006, saya mewakili Malaysia sebagai peserta di dalam 3rd Asian Sport Medicine Conference yang diadakan di Muscat, Oman dan lagi sekali pada tahun 2016 saya mewakili Malaysia dalam 1st Asian Team Physiotherapy Conference yang diadakan di Doha, Qatar. Dalam konferen tersebut, ianya dihadiri seorang fisioterapis mewakili satu negara di Benua Asia yang mempunyai 48 ahli di dalamnya.

    Soalan: Bagaimanakah cara untuk menentukan fitness pemain Malaysia? Terutamanya sekali sebelum perlawanan? Adakah soal pemakanan ada pengaruh besar dalam fitness pemain?

    NTD: Berhubung dengan fitness para pemain, seorang pegawai pasukan iaitu Jurulatih Kecergasan bertanggungjawab dalam memastikan tahap fitness pemain dalam pasukan sama ada pemain itu bermain di posisi pertahanan, posisi tengah mahu pun posisi penyerang. Segala rekod ujian kecergasan dan data berkenaan fitness pemain akan disimpan dan akan menjadi rujukan di masa hadapan.

    Saudara Nasrul turut meraikan kejayaan Sukan SEA 2013 oleh skuad  B-23 Malaysia

    Walau bagaimana pun, jika seseorang pemain yang baru pulih dari sebarang kecederaan dan telah disahkan pulih oleh Pegawai Perubatan / Fisioterapis pasukan, pemain ini akan dirujuk kepada Jurulatih Kecergasan dan dia akan melakukan beberapa ujian kecergasan ke atas pemain tersebut sebelum dibenarkan berlatih bersama-sama pemain lain dalam pasukan dan bermain dalam siri-siri perlawanan yang kompetitif.

    Manakala soal pemakanan, ianya boleh mempengaruhi tahap fitness para pemain. Menu makanan minuman dan kandungannya serta diet setiap pemain akan diselia oleh Pegawai Nutrisi pasukan.

    Soalan: Adakah laporan kecergasan pemain boleh mempengaruhi susunan kesebelasan utama oleh ketua jurulatih pasukan.

    NTD: Pasukan perubatan akan “menyimpan” pemain yang cedera itu, selagi mana pemain tidak disahkan bebas dari kecederaan. Pemain tersebut tidak akan dibebani dengan risiko untuk bermain dalam perlawanan. Oleh itu, setiap pegawai dalam pasukan perlu bersikap jujur dan professional dalam memastikan setiap keputusan yang dibuat adalah untuk kebaikan pasukan. Ketua jurulatih harus memilih pemain yang bebas dari kecederaan untuk berada di dalam kesebelasan utama ketika dalam satu-satu perlawanan. Sehubungan itu, tidak timbul isu pemain yang cedera dipaksa bermain juga ketika sesi perlawanan.

    Soalan: Apakah kecederaan yang paling kerap berlaku kepada pemain Malaysia khususnya?

    Kecederaan lutut antara kecederaan umum bagi pemain bolasepak di Malaysia khususnya.

    NTD: Secara umumnya, kecederaan yang kerap berlaku kepada pemain bolasepak Malaysia ialah kecederaan lutut, dan buku lali. Walau bagaimana pun, jika seseorang pemain itu bermain di posisi penjaga gol kecederaan yang sering dialami ialah kecederaan bahu, pergelangan tangan dan jari-jemari serta sakit belakang.

    Namun berbeza pula jika seseorang itu bermain futsal, kecederaan pemain yang kerap dialami ialah kecederaan otot hamstring, otot pangkal paha dan otot betis dan buku lali.

    Soalan: Apakah rawatan yang diperlukan mungkin selepas kecederaan yang perlu melibatkan surgeri?

    NTD: Selepas pemain yang cedera itu melepasi prosedur pembedahan, pemain tersebut akan dirujuk kepada fisioterapis. Pada kebiasaannya pemain ini akan dikawal selia dengan beberapa fasa perawatan dan pemulihan. Dalam fasa pertama ini sesi perawatan pengurusan sakit, peningkatan julat pergerakan, kekuatan otot dan keseimbangan badan mesti diberi keutamaan bagi memastikan pemain bersedia bagi memasuki fasa seterusnya. Dalam fasa kedua ini, fisioterapis akan merencanakan program-program rehabilitasi bersesuaian dengan jenis kecederaan, posisi pemain untuk didedahkan kembali kepada situasi perlawanan sebenar sebelum pasukan perubatan mengesahkan pemain tersebut bebas dari kecederaan di mana pemain tersebut akan dirujuk kepada Jurulatih Kecergasan bagi memastikan pemain tersebut 100% bersedia untuk bermain dalam perlawanan.

    Soalan: Pemain yang paling kelakar atau menghiburkan sepanjang bersama pasukan kebangsaan?

    NTD: Dalam setiap pasukan pastinya akan ada seorang dua pemain yang ‘happy go lucky’ atau pak lawak yang mana dengan kelibat beliau akan menceriakan suasana dalam pasukan dan boleh mengurangkan stress pada hari perlawanan. Ketika saya bersama pasukan kebangsaan, pemain yang mempunyai banyak karektor seperti kelakar, serius, dan tenang ialah Amri Yahyah.

    Wan Zack Haikal antara pemain yang kelakar bagi Nasrul Tajuddin.

    Namun ketika saya bersama pasukan Harimau Muda, pemain yang kelakar dalam pasukan ialah Wan Zaharulnizam dan Wan Zack Haikal. Dalam pasukan Futsal Kebangsaan pula, pemain yang mempunyai karektor mampu mengubah mood pasukan ialah Khairul Effendi @ Ayon. Kelibatnya adakali boleh mengurangkan tekanan yang dialami oleh pasukan ketika perlawanan penting dalam futsal.

    Soalan: Apa pentingnya resident fisioterapi dalam pasukan? Berapa kali seorang pemain yang cedera itu akan mengikut sesi fisioterapi setiap minggu?

    NTD: Boleh dikatakan peranan fisioterapi ini amat penting dalam pasukan walaupun ianya lebih dilihat sebagai pegawai pasukan yang “bertugas di belakang tabir”. Ketika dalam perlawanan bolasepak atau futsal, seandainya ada pemain yang mengalami kecederaan di tengah padang maka fisioterapi / pasukan perubatan merupakan “first entertainer” yang akan memeriksa, menilai dan membuat keputusan sama ada pemain tersebut dibenarkan untuk menyambung bermain dalam perlawanan tersebut atau pemain tersebut tidak mampu meneruskan perlawanan disebabkan faktor kecederaan dan ianya perlu digantikan dengan pemain yang lain. Di sini memerlukan komunikasi bijak antara pasukan perubatan dan barisan kejurulatihan bagi memastikan pergantian pemain dapat dilakukan dalam masa yang segera kerana ketika itu jumlah pemain pasukan kita hanya ada 10 orang dan pemain pasukan lawan ada 11 orang yang mana jika pergantian lambat dilakukan maka kelebihan pasukan lawan menyerang dan boleh menghasilkan gol kerana dalam keadaan tersebut kekuatan bilangan pemain berbeza.

    Pemain yang mengalami kecederaan dan selalunya berada di bawah pengawasan fisioterapis, pada kebiasaannya pemain ini akan mengikuti sesi rawatan fisioterapi sebanyak 10-12 sesi dalam masa seminggu. Kekerapan dalam sesi perawatan dapat membantu mempercepatkan proses pemulihan pemain tersebut bergantung kepada tahap kecederaan pemain tersebut.

    Soalan: Kecederaan paling teruk pernah dialami pemain negara yang mana turut disaksikan oleh saudara Nasrul Tajuddin ?

    NTD: Sepanjang 13 tahun berkhidmat di FAM, kecederaan yang paling teruk pernah disaksikan ialah kecederaan muka dan kepala. Kecederaan muka patah tulang pipi yang dialami oleh Farizal Marlias (penjaga gol) yang berlaga dengan rakan sepasukan ketika sesi latihan bolasepak di Wisma FAM.

    Saudara Nasrul Tajuddin sedang memeriksa kondisi kaki Farizal Marlias.

    Sejurus perlanggaran itu, Farizal terbaring di atas padang di mana berlakunya pendarahan yang banyak keluar melalui hidung dan telinga. Rawatan kecemasan dilakukan ketika itu dengan sangat berhati-hati sebelum dibawa dengan ambulans ke hospital yang berdekatan untuk tindakan selanjutnya kerana ketika itu keadaannya menjadi semakin parah. Setelah dilakukan x-rays, ct-scan dan beberapa prosedur yang lain, didapati tulang pipinya patah dan tulang pada tengkorak mengalami kecederaan dan pembedahan mesti dilakukan dalam kadar yang segera.

    Ada juga kisah kecederaan lain yang berlaku di Sekolah Sukan Bukit Jalil dan di Slovakia, Insha Allah akan dikongsikan di lain lapangan.

    Soalan: Pesanan kepada atlet khususnya pemain bolasepak dalam menjaga kecergasan?

    NTD: Sesungguhnya pemilihan seseorang itu untuk menjadi seorang pemain bolasepak merupakan suatu pengorbahan yang besar. Ada pun secara kasarnya apa yang kita lihat, banyak perkara yang pemain bolasepak tidak boleh lakukan berbeza dengan mereka yang berada di luar industri bolasepak. Contohnya, pemain bolasepak tidak boleh makan / minum sesuka hati bagi dalam pemilihan setiap menu harian kerana mereka mesti menjaga diet seorang atlet, pemain bolasepak juga tidak boleh melakukan sesuatu aktiviti yang boleh menjejaskan prestasi mereka kerana mereka akan berlatih di padang pada sesi pagi dan petang yang mana mereka akan memerah tenaga dan keringat demi mencapai Key Performance Indicator (KPI) / Petunjuk Prestasi Utama yang dinilai oleh barisan kejurulatihan yang mana hal ini bakal menjadi petanda aras pemain bolasepak ini akan berada di dalam kesebelasan utama atau tidak.

    Justeru, saya sebagai fisioterapis menasihatkan kepada pemain bolasepak agar jagalah diri sebaik mungkin kerana bebasnya kalian dari kecederaan bermakna kalian lebih mudah untuk berlatih bersama pasukan dan kebarangkalian besar akan dipilih untuk berada di dalam kesebelasan utama ketika sesi-sesi perlawanan. Jagalah disiplin biarpun kalian berada di dalam padang mahu pun berada di luar padang, karektor seorang pemain bolasepak yang berjaya ialah mereka yang mampu menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan. Tidak salah untuk berhibur cumanya sendiri mahu ingat.

    Skuad B23 Malaysia meraikan gol Daniel Amir ketika menentang Arab Saudi dalam AFC Asia Cup U23.

    Dalam satu pasukan, ada banyak pemain yang berlainan karektor dan atitud. Oleh yang sedemikian, sebagai pesanan tambahan kepada pemain bolasepak ini pilihlah rakan sepasukan yang boleh membantu kalian untuk majukan ke hadapan dan bukannya memilih rakan dalam pasukan yang boleh menghancurkan karier bolasepak kalian. Umpamanya jika kita bersahabat dengan penjual minyak wangi maka kita akan terpalit bau wanginya biarpun sama ada kita membeli atau tidak minyak wangi tersebut. Jika kita bersahabat dengan tukang besi maka baju kita akan terpalit bau besi dan badan kita terasa bahang panasnya.

    Soalan Boleh ceritakan serba sedikit berkenaan apa khidmat yang ditawarkan di AN NAS Rehab Centre?

    NTD: Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah kerana pada 19 Januari 2018 yang lalu genaplah 3 tahun AN NAS Rehab Centre memulakan operasi di Bandar Bukit Raja. Kami menyediakan rawatan untuk mereka yang mengalami sakit kepala, bahu, lengan, tangan, sakit belakang, pinggang, pinggul, sakit paha, lutut, buku lali dan tapak kaki.

    Selain daripada itu, mereka yang mengalami kecederaan di bahagian ligamen, otot, tendon dan sendi juga boleh mendapat rawatan di AN NAS Rehab Centre. Mereka yang mengalami kecederaan ketika bekerja mahupun bersukan yang mana berkaitan muskuloskeletal disarankan untuk mencuba rawatan di sini. InshaAllah, kita juga boleh ikhtiarkan membantu mereka yang mengalami strok muka mahu pun strok anggota badan.

    Bezanya AN NAS Rehab Centre dengan pusat rawatan fisioterapi yang lain ialah kadar caj rawatannya SEIKHLAS HATI. Tiada kadar caj rawatan yang khusus dikenakan,semuanya bergantung pada kemampuan dan keselesaan pesakit.

    Pusat Rawatan AN NAS Rehab

    AN NAS Rehab Centre dibuka pada hari Jumaat hingga Rabu dengan slot pagi (10.00 pagi – 12.30 tengahari), slot petang (4.30 – 6.30 petang) dan slot malam (9.00 – 11.00 malam). Manakala Khamis tutup kerana saya berkhidmat sebagai Pensyarah Sambilan di Unisel Shah Alam. Bagi mereka yang berhajat, bolehlah menghubungi +60125707400 sama ada melalui telefon atau whatsapp. Inn shaa Allah akan dimaklum balas secepat yang mungkin. AN NAS Rehab Centre lebih prefer set temujanji rawat awal kerana lebih mudah bagi pihak pesakit dan pihak kami dari segi pengurusan masa.

    Sama-sama kita saling bantu membantu dan kita ikhtiar untuk mengubati kesakitan yang dialami dan yang selebihnya kita serah kepada Allah untuk sesi penyembuhan. Satu mutiara kata yang saya pegang, bila mana kita memudahkan urusan orang lain nescaya Allah akan lebih memudahkan urusan kita.

    _________________________________________________________________________________________

    Begitulah sedikit sebanyak sesi sembang-sembang penulis bersama saudara Nasrul Tajuddin merupakan pengasas An-Nas Rehab Centre di Bandar Bukit Raja dan turut menjadi pensyarah sambilan di Universiti Selangor, Shah Alam. Penulis juga cukup kagum dengan semangat beliau yang kini menjadi pelajar jurusan Pengajian Al-Quran di Universiti Malaya di hujung minggu.

    Semoga berjaya buat saudara Nasrul di masa depan.

    Leave a comment

    Your email address will not be published.