• Jurulatih pasukan Johor Darul Ta’zim, Ulisses Morais mengejutkan peminat pasukan tersebut apabila meletakkan jawatan berkuat-kuasa serta merta. Perkara ini disahkan oleh Johor Southern Tigers menerusi satu ‘post’ di laman sosial Facebook. Menurut JST, sebab utama Morais meletakkan jawatan kerana masalah kesihatan yang sedang dialami keluarga Morais.

    Peletakkan jawagan Morais kali ini nyata mengejutkan ramai pihak. Perkara yang sama berlaku pada awal musim 2017 lalu apabila ketua jurulatih ketika itu, Mario Gomez meletakkan jawatan sehari sebelum perlawanan Piala Sumbangsih menentang Kedah. Tidak kelihatan tanda-tanda bahawa Morais akan meletakkan jawatan sebelum ini. Itu yang lebih mengejutkan ramai pihak.

    Pencapaian Johor Darul Ta’zim bersama Ulisses Morais boleh dikatakan cemerlang. Ketika Morais mengambil alih jawatan ketua jurulatih daripada Benjamin Mora, pasukan JDT berada di belakang pasukan Pahang dalam saingan Liga Super musim lalu. Morais berjaya mengubah nasib JDT dengan muncul juara Liga Super sekaligus meraih gelaran Liga Super keempat. Tidak cukup dengan kejuaraan Liga Super, Morais berjaya membimbing JDT memenangi Piala Malaysia pertama sejak evolusi besar-besaran pasukan pada 2012 dengan menewaskan pasukan Kedah pada perlawanan akhir.

    Untuk musim 2018 ini, Ulisses Morais berjaya memulakan kempen dengan langkah kanan apabila berjaya membimbing Johor Darul Ta’zim memenangi Piala Sumbangsih dengan menewaskan pasukan Kedah. Selain memulakan saingan Liga domestik dengan langkah kanan, JDT juga memulakan kempen Piala AFC musim ini dengan cemerlang apabila menewaskan Persija Jakarta pada perlawanan pembukaan.

    Kini masih lagi menjadi tanda tanya tentang siapa yang akan menggantikan Morais sebagai ketua jurulatih JDT yang baru. Kemungkinan besar pengendali sementara pasukan akan diberikan kepada penolong Morais iaitu Raul Longhi. Selain Raul Longhi, jurulatih Johor Darul Ta’zim II, Benjamin Mora juga dilihat sebagai calon yang bakal mengendalikan pasukan JDT sementara waktu.

    Kami di Inikan Bola ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada Ulisses Morais. Bagi jurulatih yang baru kelak, kami juga mahu ucapkan selamat maju jaya kepada anda.

    Baca Juga: Piala AFC Terakhir ?

    Leave a comment

    Your email address will not be published.