Sumber Gambar: JST

Johor Darul Ta’zim berjaya menewaskan Tampines Rovers dalam perlawanan kumpulan H Piala AFC 2018. Dua gol jaringan Safawi Rasid dan Hazwan Bakri sudah cukup untuk memberikan JDT 3 mata penuh. Di sini, kami tertarik dengan persembahan Safawi dan Juga Hazwan dalam perlawanan semalam. Kami berpendapat Hazwan dan Safawi adalah gandingan terbaik bagi mengisi barisan serangan skuad kebangsaan. Kedua-dua pemain dilihat serasi dan mempunyai chemistry yang sangat baik.

Hazwan diletakkan sebagai penyerang utama pada perlawanan semalam. Manakala Safawi pula diletakkan di posisi sayap kiri. Peranan sebagai penyerang utama nyata dimanfaatkan dengan baik oleh Hazwan. Beliau mempunyai deretan peluang bagi menjaringkan lebih banyak gol pada perlawanan semalam. Hanya saja nasib tidak menyebelahi beliau. Bagi Safawi pula, larian pantas di sebelah kiri juga menjadi ancaman kepada kubu pertahanan. Kedua-dua pemain juga berjaya membuktikan bahawa JDT tidak perlukan khidmat pemain import bagi mencari kemenangan. Pada pentas yang lebih besar dan perlawanan penting seperti semalam, Hazwan dan Pawi membuktikan bahawa pemain tempatan kita juga mampu untuk beraksi cemerlang. Bukan saja beraksi dengan cemerlang, tetapi memberikan hasil yang meyakinkan.

Kami berpendapat, ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe boleh memberikan sepenuh perhatian bagi memantapkan barisan serangan negara menggunakan kedua-dua penyerang ini. Hal ini kerana ketika ini, hanya Safawi dan juga Hazwan saja yang merpakan pemain serangan kita yang sedang dalam prestasi terbaik. Jika Tan Cheng Hoe mau mencari seorang lagi pemain untuk digandingkan dengan Hazwan dan Pawi, mungkin beliau boleh meletakkan penyerang Kedah, Akhyar Rashid atau pemain sayap PKNS FC, Mahali Jasuli. Kedua-dua pemain ini juga sedang dalam prestasi terbaik mereka. Gandingan keempat-empat pemain ini dilihat sesuai.

Menarik untuk kita saksikan bagaimana Tan Cheng Hoe merubah bahagian serangan yang sememangnya sudah tumpul sejak sekian lama. Bahagian serangan inilah yang menjadi masalah utama yang gagal diselesaikan oleh jurulatih negara dalam dua tahun kebelakangan ini. Jadi besar harapan peminat bola sepak Malaysia untuk menyaksikan masalah ini dapat diatasi dengan segera.

Baca Juga: Kesebelasan Utama Pilihan Inikan Bola

Leave a Reply