Sumber Gambar: UKM FC

Isnin, 12 Mac 2018. Kelihatan beberapa pemain baru tiba di padang latihan. Mereka menunaikan solat Asar terlebih dahulu. Ada di antara mereka merupakan pelajar universiti yang baru habis kelas. Sesi latihan bermula sekitar pukul 5 petang, diawasi oleh jurulatih mereka. Sesi latihan dimulakan dengan pemanas badan. Petang itu saya berkesempatan menemubual jurulatih UKM FC, Sulaiman Hussin untuk berkenalan dengan beliau dan juga pasukan UKM FC, serta persiapan untuk perlawanan menentang Felda United pada Jumaat ini.

Sumber Gambar: UKM FC

Saya (TA) : Tahniah coach sebab berjaya layak ke Liga Perdana serta pusingan ketiga Piala FA

Sulaiman Hussin (SH) : Terima kasih.

TA : Sudah berapa lama coach menjadi jurulatih di UKM FC ?

Sulaiman Hussin : Saya mula bawa UKM FC ini pada tahun 2008 sehingga sekarang, namun pada tahun 2015 saya ke pasukan Piala Presiden Sime Darby sebelum kembali pada musim 2016 dengan UKM FC. Lebih kurang dalam 9-10 tahun juga.

TA : Apakah kesukaran terbesar yang pernah coach hadapi selama menjadi jurulatih UKM FC ?

Sulaiman Hussin : Saya rasa selama menjadi jurulatih UKM FC ini, masalah paling utama adalah kewangan, juga mendapatkan pemain-pemain yang betul-betul komitmen dalam bolasepak. Apabila saya ambil (pemain tersebut), saya lihat kita masih fokus kepada pemain-pemain yang berstatus pelajar di UKM untuk diubah menjadi pemain bolasepak. Lama kelamaan saya berfikir, untuk menaikkan lagi nama UKM FC, kita perlu mendapatkan pemain-pemain yang memang berbakat dan berminat untuk belajar. Jadi dari sana, saya mula berbincang dengan pengurusan untuk menawarkan pelajaran
kepada pemain-pemain.

Kesukaran yang lain apabila saya nak bentuk pasukan ini, ketika kami nak buat team building dan kita takde kewangan, kita pergi ke Port Dickson dan pacak khemah di tepi padang dan kita buat barbeku, burger dengan hotdog. So itu permulaan la. (Itu pada) mula-mula dahulu pada tahun 2008 kita buat pasukan UKM FC ini.

TA : Boleh ceritakan pengalaman coach sendiri sebelum menjadi jurulatih UKM FC ?

SH : Saya dahulu adalah bekas pemain Kuala Lumpur, dari umur saya 15 hingga 20 tahun saya bersama Kuala Lumpur. Selepas itu saya berhijrah ke PDRM, MPPJ dan last saya berhenti apabila bermain dengan MK Land. Faktor utama saya berhenti itu adalah kecederaan lutut, dan saya dah
rasa pengalaman bermain di Liga Premier itu. Sebagai jurulatih, ini (berada di Liga Premier) adalah yang pertama.

TA : Bagaimana posisi semasa menjadi pemain bolasepak mempengaruhi gaya kejurulatihan ?

SH : Saya bermain di posisi tengah dan kamu boleh tengok apabila bahagian tengah UKM FC sekarang nampak strong, kerana saya merupakan pakar di bahagian tengah maka saya gunakan pengalaman saya semasa bermain, saya banyak focus di bahagian tengah, kerana enjin kekuatan satu pasukan adalah bahagian tengah, yang mana mereka perlu support bahagian pertahanan dan juga bahagian serangan. Oleh itu, saya gunakan semua pengalaman yang saya ada dan saya curahkan kepada pemain-pemain yang baru ini.

TA : Adakah ada peraturan khas kepada para pemain, seperti gaya pemakanan atau waktu rehat di malam hari ?

SH : Saya selalu menekankan, kalau nak menjadi seorang pemain bolasepak profesional, banyak disiplin yang perlu dijaga. Pertama sekali adalah rehat, makan, minum, semua kena jaga. Oleh itu saya selalu bagitau kepada pemain-pemain supaya jaga rehat anda, jaga tidur anda, dan makan makanan yang berkhasiat, kerana itu semua adalah perkara normal untuk menjadi seorang pemain bolasepak profesional.

PEMAIN UKM FC DAN PEMBELAJARAN DI UKM

TA : Sebagai pemain, mereka juga ada tanggungjawab juga sebagai seorang pelajar universiti. Bagaimana cara coach menangani keadaan pemain jika mereka terlihat stres ?

SH : Kebiasaannya, saya sangat bertoleransi dengan pemain, kerana saya tak berapa strict sangat dengan waktu latihan. Kerana saya tahu mereka ada kelas, kadang-kadang mereka lewat, mereka tertekan dengan peperiksaan, jadi saya cuba untuk tidak terlalu mengganggu mental mereka dan mendesak mereka terlalu tinggi, tapi saya nak mereka rasa selesa apabila turun ke padang (untuk) berlatih, dan yang paling penting apabila pada hari perlawanan mereka berikan yang terbaik.

TA : Bagaimana coach sendiri melihat masa depan pasukan UKM FC ini ?

SH : Saya nampak UKM FC mempunyai masa depan yang sangat cerah di (masa) hadapan, dan akan datang kalau saya nanti tidak membawa pasukan ini maka saya dah buat satu foundation yang sangat kuat dan saya harap apa yang kita telah rancang selama ini akan diteruskan dan jika saya
masih di sini, saya tidak akan biarkan dan saya ingin melihat pula kemunculan pasukan UKM FC bawah 21 tahun, mungkin pasukan belia untuk UKM FC selepas ini. Ini adalah matlamat saya yang seterusnya, saya nak UKM FC ada pasukan belia pula, ada pasukan Piala Presiden. Ini adalah rancangan jangka masa panjang yang saya dah rancang dan kita akan buat benda ini (pasukan belia dan Piala Presiden).

PERSEDIAAN PIALA FA

TA : Bagaimana persiapan pasukan untuk menghadapi Felda United di pusingan ketiga Piala FA nanti ?

SH : Memandangkan kita akan bertemu satu pasukan yang berpengalaman seperti Felda United, kita takkan mengambil perlawanan ini dengan sambil lewa kerana saya percaya, kita perlu bekerja double act. Felda United ini rata-rata pemainnya terdiri daripada pemain yang berpengalaman dan coach dia (B. Sathianathan) juga berpengalaman, saya taknak jadikan perlawanan ini sebagai pelengkap jadual tetapi akan bagi saingan yang habis baik, dan jika ada rezeki kita nak layak ke suku akhir.

TA : Terima kasih banyak kepada coach kerana sudi ditemubual.

SH : Sama-sama.

Nota: Artikel ini ditulis oleh Ariff Ansaruddin. Beliau merupakan pensyarah di salah sebuah institut pengajian awam (UKM Bangi) dan pernah menuntut di Universitas Indonesia. Beliau juga penyokong pasukan Negeri Sembilan FA dan UKM FC.

Baca Juga: Kejohanan Piala AFF Suzuki 2018 Dan Perubahan Formatnya.

Leave a Reply