Sumber Gambar: Arabian Business

Selepas kejayaan, Filipina yang melayakkan diri ke temasya Piala Asia di UAE untuk pertama kali, penulis berasa terpanggil untuk melihat statistik dan sejarah mengenai kejohanan peringkat Asia ini, sekaligus melihat prospek Malaysia untuk Piala Asia 2023.

SEJARAH PIALA ASIA

Kejohanan ini bermula pada tahun 1956, 2 tahun selepas penubuhan AFC. Hong Kong dipilih sebagai tuan rumah pertama dengan tiga negara lainnya, Korea Selatan (zon Timur), Israel (zon Barat) dan Vietnam Selatan (zon Tengah) melayakkan diri ke kejohanan tersebut. Malaysia – yang pada masa itu dikenali sebagai Tanah Melayu gagal melayakkan diri selepas kalah 3-7 secara agregat dengan Vietnam Selatan di pusingan kedua, walaupun sebelumnya menang 11-5 secara agregat dengan Kemboja.

Sabah yang dikenali sebagai Borneo Utara juga bermain di peringkat kelayakan zon Timur namun menarik diri di pusingan kedua sewaktu bertemu China. Israel pada masa itu berada di bawah naungan AFC zon Barat, layak ke kejohanan Piala Asia selepas semua lawan menarik diri di peringkat kelayakan. Juara bagi Piala Asia tahun tersebut adalah Korea Selatan dengan mengutip 2 kemenangan dan 1 seri. Kejohanan diadakan dalam format kumpulan.

Terdapat 8 negara yang pernah menjuarai Piala Asia, dengan Jepun (4), Arab Saudi, Iran (3) dan Korea Selatan (2) sahaja pernah menjuarai lebih dari sekali. Empat negara lainnya adalah Israel (1964), Kuwait (1980), Australia (2015) dan Iraq (2007). Hanya Iraq dan Arab Saudi sahaja menjuarai Piala Asia tanpa menjadi tuan rumah. Iran merupakan tuan rumah yang paling banyak menjadi juara, iaitu sebanyak 2 kali (1968 dan 1976).

NEGARA YANG LAYAK

Dengan kejohanan yang memasuki edisi ke 17, Iran dan Korea Selatan adalah negara yang berjaya layak sebanyak 14 kali. Iran tidak pernah gagal untuk layak ke Piala Asia semenjak menjadi tuan rumah pada tahun 1968. Pada tahun tersebut juga, Korea Selatan gagal buat kali pertama ke Piala Asia selepas slot untuk zon Timur diambil oleh China sebagai juara kumpulan zon Timur.

Kali kedua Korea Selatan gagal layak pada tahun 1976 apabila Malaysia dan Thailand menjadi juara dan naib juara Kumpulan 4 sekaligus melayakkan kedua-dua negara tersebut ke Piala Asia 1976 di Iran. Uniknya, Korea Selatan gagal layak ke Piala Asia apabila Iran menjadi tuan rumah. Kali terakhir Korea Selatan gagal layak iaitu pada Piala Asia 1992 di Jepun.

Jika 32 negara yang pernah layak ini diambil kira, Myanmar dan Hong Kong adalah negara yang paling lama menantikan masa untuk layak semula ke Piala Asia. Terhitung sudah 13 edisi bagi kedua-dua negara untuk gagal layak semula selepas layak pada tahun 1968. Kemboja (12 edisi) dan Bangladesh (10 edisi) juga merupakan negara yang mengambil masa yang lama untuk layak semula selepas kemunculan kali terakhir.

Hanya 14 buah negara sahaja yang belum pernah layak ke temasya Piala Asia, iaitu Afganistan, Bhutan, Brunei Darussalam, Guam (negara Oceania namun di bawah AFC, sama seperti Australia), Kazakhstan, Laos, Macau, Maldives, Mongolia, Nepal, Pakistan, Sri Lanka, Tajikistan dan Timor Leste.

ASIA TENGGARA DI PIALA ASIA

Negara Asia Tenggara yang pertama kali layak adalah Vietnam (bernama Vietnam Selatan) pada edisi di Hong Kong tahun 1956, diikuti Myanmar (bernama Burma) tahun 1968, Kemboja (bernama Khmer) dan Thailand tahun 1972, Malaysia tahun 1976, Singapura tahun 1984, Indonesia tahun 1996 dan terakhir Filipina pada tahun 2019. Australia pada tahun 2007 di bawah Persatuan Bolasepak Asia Tenggara (AFF).

Thailand merupakan negara Asia Tenggara pertama menjadi tuan rumah pada tahun 1972, kemudian Singapura (1984) dan empat negara – Malaysia-Indonesia-Thailand-Vietnam (2007). Jika Australia diambil kira, maka Australia merupakan tuan rumah dari Asia Tenggara pada edisi lepas (2015).

Rekod terbaik bagi negara AFF di temasya Piala Asia adalah Indonesia (peringkat kumpulan, 1996, 2000, 2004 dan 2007), Kemboja (tempat keempat, 1972), Malaysia (peringkat kumpulan, 1976, 1980 dan 2007), Myanmar (naib juara, 1968), Singapura (peringkat kumpulan, 1984), Thailand (tempat ketiga, 1972) dan Vietnam (tempat keempat, 1956 dan 1960).

MALAYSIA DI PIALA ASIA

Malaysia layak ke temasya Piala Asia sebanyak tiga kali, dengan penampilan sulung pada tahun 1976 di Iran berakhir dengan gagal ke peringkat kalah mati selepas mengutip satu kekalahan di tangan Kuwait dan satu seri. Allahyarham Mokhtar Dahari menjadi penjaring tunggal kejohanan ketika seri 1-1 menentang China. Penampilan kedua Malaysia pada edisi seterusnya di tahun 1980.

Namun skuad negara gagal untuk layak ke peringkat separuh akhir walaupun menamatkan kejohanan di tempat ketiga kumpulan di belakang Korea Selatan dan Kuwait. Penampilan terakhir Malaysia di Piala Asia adalah sebagai tuan rumah bersama dengan Thailand, Indonesia dan Vietnam, dan kekal sebagai penampilan tuan rumah paling buruk.

PIALA ASIA 2023 DAN PELUANG MALAYSIA

Tuan rumah bagi Piala Asia edisi ke 18 belum diputuskan, sehinggalah Kongres AFC pada Mei 2018 memutuskan sama ada China, Korea Selatan ataupun India sebagai tuan rumah. Indonesia dan Thailand menarik diri dalam pencalonan. Jumlah negara yang bakal melalui peringkat kelayakan adalah 46 buah negara.

Jika format yang sama digunapakai seperti kelayakan Piala Asia 2019, maka pusingan pertama bakal diisi oleh 12 buah negara AFC yang mendapat ranking 12 terbawah pada Januari 2019. Jika diambil kira ranking negara pada bulan ini, maka kedua belas negara tersebut adalah Pakistan, Sri Lanka, Bangladesh, Brunei Darussalam, Guam, Timor Leste, Mongolia, Bhutan, Macau, Laos, Malaysia dan Kuwait.

Jika Malaysia gagal melepasi pusingan pertama kelayakan, maka Malaysia bersama-sama dengan negara yang gagal akan memasuki kejohanan Piala Solidariti AFC, di mana Nepal menjadi juara edisi sulung tahun 2016 di Kuching, Malaysia.

Sama-samalah kita berdoa dan berharap semoga skuad negara kita dapat menaikkan ranking FIFA sebelum undian temasya Piala Asia 2023 berlangsung, sekaligus dapat berjaya melangkah ke Piala Asia 2023 di bawah kendalian jurulatih dan pengurusan FAM yang baru ini.

Nota: Artikel ini ditulis oleh Ariff Ansaruddin. Beliau merupakan pensyarah di salah sebuah institut pengajian awam (UKM Bangi) dan pernah menuntut di Universitas Indonesia. Beliau juga penyokong pasukan Negeri Sembilan FA dan UKM FC.

Leave a Reply