• Kecemerlangan penyerang skuad bawah 19 tahun negara, Hadi Fayyadh dalam kejohanan Piala Sanix telah menarik minat beberapa kelab Liga Jepun untuk mengambil khidmat penyerang berusia 18 tahun ini. Antara kelab yang berminat adalah Sagan Tosu, Vissel Kobe, Avispa Fukuoka dan FC Tokyo. Jika salah satu pasukan ini memberi Hadi peluang, jangan tunggu lama-lama wahai anak muda! Pergilah!

    Hadi mula mendapat perhatian peminat bola sepak Malaysia apabila beliau membantu skuad bawah 19 tahun negara layak ke temasya Piala Asia Bawah 19 Tahun yang akan dilangsungkan di Indonesia tahun ini. Ketika kempen kelayakkan, Hadi berjaya menjaringkan 3 gol. Persembahan cemerlang Hadi meyakinkan Datuk Ong Kim Swee untuk menyenaraikan beliau bagi skuad Sukan SEA 2017.

    Prestasi cemerlang Hadi bukan saja bersama pasukan kebangsaan. Di peringkat kelab, Hadi berjaya menjadi pemain yang lahir pada tahun 2000 yang berjaya menjaringkan gol dalam saingan Liga Malaysia. Pencapaian ini beliau raih bersama kelab Johor Darul Ta’zim II musim lalu. Beliau juga berjaya menembusi pasukan utama JDT ketika itu. Satu pencapaan yang baik oleh seorang pemain berusia 17 tahun.

    Kami berpendapat ini adalah satu peluang keemasan yang tidak boleh dilepaskan oleh Hadi. Ini kerana beliau adalah penyerang harapan negara pada masa akan datang. Beliaulah yang akan menggantikan kelibat Hazwan Bakri dan juga Darren Lok 5 tahun dari sekarang untuk mengisi posisi serangan negara.

    Jadi, pendedahan kepada permainan bola sepak pada tahap yang lebih tinggi dan juga liga yang kompetitif adalah sangat penting buat Hadi pada awal karier beliau. Dan kami melihat Liga Jepun adalah satu destinasi yangs sangat sesuai dengan Hadi. Di sana, beliau akan bermain menentang para pemain terbaik bola sepak Asia.

    Ini adalah satu peluang yang baik untuk Hadi meningkatkan gaya serta mutu permainan beliau. Pergilah jika ada peluang wahai anak muda. Biarlah gaji yang akan diterima sedikit, asalkan ilmu dan juga pengalaman yang kamu dapat di sana nanti boleh membantu pasukan kebangsaan kita.

    Baca Juga: Berikan Anak Muda Ini Peluang!

    Leave a comment

    Your email address will not be published.