• Pasukan negara akan menghadapi satu lagi perlawanan persahabatan menentang Bhutan pada Ahad ini di Stadium Nasional Bukit Jalil. Sudah pasti anak-anak buah Tan Cheng Hoe mahukan kemenangan bagi meredekan sedikit tekanan yang sedang dihadapi. Namun, ada satu pemain yang digelar Bhutanese Ronaldo yang mampu menggugat impian pemain skuad negara.

    Bhutanese Ronaldo yang kami maksudkan di sini ialah penyerang muda pasukan Bhutan, Chencho Gyeltshen. Gyeltshen ketika ini mewakili kelab Minerva Punjab yang menjadi juara Hero I-League yang merupakan liga divisyen utama India.

    Chencho Gyeltshen berada dalam prestasi yang cemerlang apabila berjaya menjaringkan 7 gol dalam saingan Liga. Perjalanan Gyeltshen untuk menjadi pemain bola sepak profesional nyata penuh dengan cabaran. Setakat ini, Gyeltshen telah mewakili 11 pasukan berbeza, pada usia beliau yang baru menginjak 22 tahun. Satu perjalanan karier yang menarik bagi pemain semuda Gyeltshen.

    Penyerang muda Bhutan ini mengalami kesukaran pada musim pertama beliau beraksi di India. Oleh kerana ranking FIFA Bhutan yang pernah berada di kedudukan terakhir, Gyeltshen tidak dipandang dengan serius oleh beberapa pasukan ketika tiba di India. Namun, kerja keras beliau akhirnya berbaloi apabila beliau beraksi dengan cemerlang dengan membantu Minerva Punjab menjadi juara Liga.

    Jika kita melihat kepada rekod jaringan Gyeltshen pada dua musim terakhir, boleh dikatakan Gyeltshen mempunyai rekod yang sangat cemerlang. Musim lalu Gyeltshen berjaya menjaringkan 22 gol untuk Thimpu City dalam saingan Liga Bhutan.

    Kelibat Bhutanese Ronaldo ini pastinya akan menjadi senjata utama pasukan Bhutan disamping ketua pasukan mereka yang juga seorang pilot, Karma Shedrup bagi memberikan cabaran kepada anak-anak buah Tan Cheng Hoe. Sudah pasi mereka mahu mengutip kemenangan bagi menaikkan kedudukan mereka dalam ranking FIFA yang ketika ini berada 10 anak tangga di bawah Malaysia.

    Apa yang pasti, para pemain jangan mengambil mudah cabaran yang akan diberikan oleh pasukan Bhutan. Anggap perlawanan ini sebagai perlawanan akhir. Hanya kemenangan yang akan memberikan kelegaan kepada semua pihak.

    Baca Juga: Nazmi Faiz, Maestro Baru Pasukan Kebangsaan ?

    Leave a comment

    Your email address will not be published.