• Macam-macam yang berlaku dalam arena bola sepak negara sejak kebelakangan ini. Presiden FAM letak jawatanlah, pemain tinggalkan kem negaralah, penjaga gol tiba-tiba melatahlah dan banyak lagi. Apa yang berlaku sedikit-sebanyak memberi kesan terhadap fizikal dan juga mental peminat bola sepak Malaysia. Masalah yang berlaku juga menimbulkan satu persoalan. Adakah sukan bola sepak ini bukan lagi medan untuk menyatukan rakyat Malaysia ?

    Sukan bola sepak diangkat sebagai sukan nombor satu dalam negara. Bilangan penonton di stadium dan juga di kaca tv adalah lebih besar jika nak dibandingkan dengan sukan lain, terutamanya jika perlawanan membabitkan skuad kebangsaan. Di stadium atau di kedai mamak, jika pasukan negara menjaringkan gol, yang tidak kenal boleh jadi kenal, yang benci mulai sayang dan yang dari tidak suka menjadi cinta. Itulah keajaiban sukan bola sepak terhadap rakyat Malaysia.

    Akan tetapi, akhir-akhir ini sukan bola sepak tidak lagi dilihat sebagai medan penyatu rakyat. Yang di selatan menyalahkan yang di timur, barat dan juga utara. Para peminat juga saling menuding jari ke arah satu sama lain. Mereka berbalah tentang siapa yang patut dipersalahkan di atas jatuhnya prestasi skuad kebangsaan. Yang dulu saling menyintai, kini saling membenci. Yang dulu selalu jumpa di stadium, kini nak tengok muka pun sudah tak mau.

    Apa sudah jadi dengan sukan penyatu rakyat ini ? Mengapa boleh jadi begini ? Mana perginya semangat cintakan negara setiap kali kita melihat skuad kebangsaan beraksi di depan mata ? Kemana hilangnya keindahan apabila kita melihat para pemain yang turun ke padang bagi mewakili pasukan kebangsaan ? Sampai bila kita akan saling menyalahkan sesama sendiri ?

    Semoga ada sinar yang menerangi kembali kancah bola sepak Malaysia. Semoga ada jalan penyelesaian kepada semua permasalahan dan juga gundah gulana yang sedang melanda arena bola sepak negara. Dan semoga kegemilangan dan juga kemakmuran segera mengunjungi sukan yang menyatukan rakyat Malaysia ini pada masa akan datang.

    Baca Juga: Peluang Untuk Pemain Baru Menyinar!

    Leave a comment

    Your email address will not be published.