• Dua taikun bola sepak Malaysia, Tan Sri Vincent Tan dan Tan Sri Tony Fernandes dilabel sebagai layak untuk menjadi presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang baru bagi menggantikan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim. Dua tokoh korporat ini masing-masing memiliki Cardiff City dan Queens Park Rangers yang ketika ini bermain di Liga Kejuaraan EFL.

    Kedua-duanya pernah dikaitkan dengan kerusi panas badan induk bola sepak negara itu. Ketika pemilihan presiden pada tahun lalu, Tan Sri Vincent Tan dan Tan Sri Tony Fernandes menjadi pilihan sesetengah peminat bola sepak negara untuk menjadi presiden. Namun, perkara tersebut tidak menjadi kenyataan.

    Jika benar kedua-dua taikun ini berminat untuk menjadi presiden FAM, maka mereka harus bersaing dengan Datuk Hamidin Mohd Amin yang mendapat sokongan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin. Nama Datuk Hamidin juga disyorkan sendiri oleh Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai pengganti beliau.

    Apa yang boleh kita lihat di sini adalah ketiga-tiganya mempunyai pengalaman tersendiri dalam dunia bola sepak. Tan Sri Tony dan Tan Sri Vincent mempunyai pengalaman bersama Cardiff City dan Queens Park Rangers. Manakala Datuk Hamidin boleh lebih terarah ke arena bola sepak tempatan bersama Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) sebelum memegang jawatan bersama FAM.

    Walau apa pun, siapa saja yang terpilih nanti bakal mempunyai tanggungjawab besar untuk mengembalikan semula prestasi cemerlang skuad kebangsaan. Individu tersebut harus mempunyai perancangan yang rapi dengan merangkumi segala aspek. Yang paling penting, dapat menarik penaja.

    Apa pendapat anda mengenai cadangan agar Tan Sri Vincent Tan dan Tan Sri Tony Fernandes untuk bertanding jawatan presien Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ? Adakah kedua-dua tokoh korporat ini calon yang sesuai untuk menggantikan Tunku Ismail Sultan Ibrahim ?

    Atau anda merasakan ada individu lain yang mempunyai lebih pengalaman tentang bola sepak negara yang layak memegang tampuk pemerintahan FAM ? Kongsikan pendapat anda bersama kami.

    Baca Juga: Era Baru Persatuan Bola Sepak Malaysia ?

    Leave a comment

    Your email address will not be published.