• Setelah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim meletakkan jawatan sebagai presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia, peminat bola sepak negara tertanya-tanya tentang siapa yang bakal menggantikan beliau dalam badan induk bola sepak Malaysia. Ketika ini, ada dua nama yang berkemungkinan menjadi pemimpin sekaligus membawa era baru dalam FAM.

    Nama Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk Hamidin Mohd Amin menjadi pilihan untuk mengisi tempat yang ditinggalkan oleh TMJ. Malah, baginda juga mengesyorkan nama Datuk Hamidin untuk menggantikan beliau pada Kongres FAM pada Julai nanti. Sehingga Kongres itu diadakan, buat masa ini Datuk Wira Yusoff Mahadi menjadi calon utama untuk menyandang jawatan pemangku presiden.

    Jika Datuk Hamidin dipilih sebagai presiden FAM pada Julai nanti, ini akan menjadi satu sejarah baru bagi badan induk bola sepak negara itu kerana beliau akan menjadi individu pertama yang bukan ahli politik dan juga kerabat diraja menjadi presiden FAM.

    Pada 1958, Perdana Menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman menjadi presiden sehingga tahun 1974. Jawatan presiden seterusnya disandang oleh Tun Abdul Razak selama satu tahun. Setelah itu, Tan Sri Hamzah Abu Samah dilantik sebagai presiden pada 1976 hingga 1983.

    Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah memegang jawatan presiden FAM selama 30 tahun dari tahun 1984 sehingga 2014. Jawatan tersebut diambil alih oleh anak baginda iaitu Tengku Abdullah Shah dari 2014 hingga 2017 sebelum diambil alih oleh Tunku Mahkota Johor pada 2017 hingga 2018.

    Jika kita melihat kepada pengalaman yang dimiliki oleh Datuk Hamidin, beliau antara nama yang boleh dipertimbangkan untuk menjadi presiden FAM. Hubungan di peringkat kebangsaan serta antarabangsa yang dimiliki oleh Datuk Hamidin juga boleh dimanfaatkan oleh FAM.

    Siapa pun yang dipilih pada Julai nanti, individu tersebut bakal mempunyai tanggungjawab yang besar bagi menggantikan TMJ sebagai presiden FAM. Presiden seterusnya perlu mempunyai perancangan yang rapi dan juga mengambil langkah yang proaktif bagi memastikan skuad kebangsaan menuju ke era baru yang lebih baik daripada sebelum ini.

    Baca Juga: Yusoff Mahadi Pilihan Yang Tepat ?

    Leave a comment

    Your email address will not be published.