• Selepas 5 musim menyepi daripada saingan Liga Super, akhirnya pasukan ibu kota kembali ke kancah paling beprestij dalam bola sepak Malaysia ini apabila menjuarai Liga Perdana musim lalu. Kecemerlangan penyerang import Kuala Lumpur, Guilherme De Paula yang berjaya menjaringkan sebanyak 26 gol musim lalu dalam saingan Liga menjadi faktor utama Kuala Lumpur mampu untuk muncul sebagai juara. Namun, kepulangan mereka ke saingan Liga Super nyata tidak seperti yang diharapkan. Setakat ini, Kuala Lumpur hanya mengutip satu kemenangan dan tewas tiga perlawanan. Peminat juga sudah mula mempersoalkan kredibiliti ketua jurulatih, Fabio Maciel untuk mengendalikan pasukan. Adakah perlawanan menentang Kedah hari ini merupakan perlawanan akhir Fabio sebagai jurulatih The City Boys ?

    Barisan serangan Kuala Lumpur juga mengecewakan setakat ini. Mereka hanya mampu untuk menjaringkan satu gol setakat ini. Penjaring terbanyak mereka musim lalu, Guilherme De Paula masih lagi gagal untuk menjaringkan sebarang gol dalam saingan Liga. Tidak banyak yang boleh dibanggakan oleh pasukan ibu kota musim ini selain kemenangan ke atas juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim pada perlawanan minggu ketiga. Malah, Kuala Lumpur juga tidak mampu untuk menewaskan Negeri Sembilan dan PKNP FC, dua pasukan yang menamatkan saingan Liga Perdana musim lalu di bawah mereka.

    Tindakan Fabio Maciel yang tidak mahu membuat pertukaran dalam kesebelasan utama pasukan turut menjadi pertanyaan di kalangan peminat. Fabio juga belum memberi peluang kepada pemain berpengalaman seperti Zaquan Adha dan Saifulnizam Miswan untuk membarisi kesebelasan utama. Selain dua pemain berpengalaman ini, pemain muda serba boleh, Irfan Zakaria juga masih belum diberikan peluang untuk tampil.

    Perlawanan menentang Kedah hari ini nyata satu perlawanan yang sangat penting buat Kuala Lumpur dan Fabio Maciel sendiri. Hanya kemenangan yang akan meredekan sedikit tekanan yang sedang dialami pasukan. Jika tewas, maka pasukan akan kekal berada di kedudukan bawahan Liga dan Fabio Maciel mungkin akan kehilangan jawtaan ketua jurulatih.

    Baca Juga: Kuala Lumpur Harus Segera Bangkit

    Leave a comment

    Your email address will not be published.