• Pasukan yang sedang dirudung malang ketika ini, Selangor akan menghadapi pasukan Terengganu dalam saingan Piala FA 2018 hari ini. Pada perlawanan ini, Selangor akan dikendalikan oleh pemangku jurulatih, Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir setelah Persatuan Bola Seak Selangor 9FAS) mengambil keputusan untuk merehatkan jurulatih sebelumnya, P.Maniam buat sementara waktu. Keputusan yang diambil ekoran prestasi buruk pasukan dalam 3 perlawanan terakhir Liga. Di bawah kendalian jurulatih baru, mampukah mereka mengubah nasib pasukan dan mula mengutip kemenangan ?

    Selangor sudah pasti bakal berdepan cabaran sukar pada perlawanan hari ini. Lawan mereka sedang dalam prestasi terbaik ketika ini walaupun tewas pada perlawanan terakhir Liga ketika menentang JDT. Selain itu, Red Giants mengalami mimpi terburuk mereka musim ini apabila tewas 4-1 dalam perlawanan minggu ketiga Liga Super kepada lawan mereka hari ini. Banyak ruang yang perlu diperbaiki oleh Nazliazmi bagi memastikan Selangor mula mengutip kemenangan. Yang paling ketara adalah barisan pertahanan mereka yang telah dibolosi sebanyak 10 gol dalam 3 perlawanan terakhir Liga. Selain aspek bertahan, Nazliazmi juga harus memperbaiki bahagian tengah pasukan yang dilihat tidak berfungsi sebelum ini. Beliau harus segera mencari gandingan yang sesuai dengan Evan Dimas. Kami berpendapat, Nazliazmi boleh meletakkan Joseph Kalang Tie untuk bergandingan dengan Evan dan meletakkan Abdul Halim Zainal sebagai pemain tengah bertahan.

    Bagi pasukan Terengganu pula, mereka harus segera melupakan kekalahan kepada JDT dan menumpukan sepenuh perhatian kepada perlawanan menentang Selangor. Jika kita melihat kepada prestasi semasa, memang Terengganu dilihat tiada masalah untuk sekali lagi menewaskan Selangor. Akan tetapi, Selangor ketika ini bagaikan gergasi yang sedang terluka. Mereka juga mahu bangkit bagi mengubati luka tersebut. Kipre Tchetche dan Lee Tuck harus segera mencari sentuhan berbisa mereka bagi memastikan tiada kejutan yang berlaku hari ini.

    Pasukan mana yang akan terkeluar daripada saingan Piala FA edisi 2018 malam ini ? Adakah juara 5 kali akan terus dirudung malang malam ini ? Ataupun mereka berjaya menundukkan anak-anak buah Irfan Bakti dan mula kembali ke prestasi cemerlang ?

    Leave a comment

    Your email address will not be published.