• Kehadiran bekas pemain Atletico Madrid pada awal musim ini diharapkan dapat menggantikan penyerang kesayangan peminat, Ken Ilso Larsen di bahagian serangan pasukan Kedah. Namun, perkara sebaliknya telah berlaku. Ketika ini Pablo Pallares menjadi sasaran kritikan peminat dek kerana prestasi hambar pasukan dalam saingan Liga Malaysia.

    Tahap marah penyokong Kedah ni, mereka meletakkan Pallares di platform jual beli atas talian, Mudah.my. Peminat meletakkkan harga RM100 bagi sesiapa yang mahukan khidmat beliau.

    Pallares dilihat sedikit bergelut untuk mempamerkan prestasi cemerlang bersama pasukan Kedah. Beliau dilihat agak sukar untuk menyesuaikan diri dengan gaya permainan yang diterapkan oleh Ramon Marcote. Kelibat beliau di atas padang lebih dilihat sebagai liabliliti berbanding kelebihan kepada pasukan.

    Kegagalan Pallares untuk bermain dengan baik dan menjaringkan gol sedikit-sebanyak menyumbang kepada prestasi pasukan yang berada dalam keadaan merisaukan ketika ini. Harapan peminat untuk menyaksikan Pablo bermain dengan baik nyata menjadi satu bebanan yang tidak dapat ditanggung oleh beliau.

    Ini adalah dilema yang harus dihadapi oleh Marcote. Beliau harus memutuskan sama ada mahu menggugurkan Pallares pada perlawanan seterusnya dan menggunakan pemain muda atau beliau mengekalkan Pallares dalam kesebelasan utama. Kami berpendapat Marcote boleh menggunakan penyerang muda seperti Zafuan Azeman peluang untuk tampil dalam kesebelasan utama.

    Tiada jalan lain yang boleh digunakan oleh Marcote selain mengambil risiko dengan menurunkan pemain muda di bahagian serangan. Sehingga jendela perpindahan kedua dibuka pada Jun nanti, Marcote harus menggunakan pilihan pemain yang ada untuk segera memperbaiki prestasi pasukan Kedah.

    Bagi Pablo Pallares pula, beliau harus segera menyesuaikan diri dengan gaya permainan Marcote dan mula menjaringkan gol bagi mengelakkan beliau digantikan dengan penyerang lain pada jendela perpindahan kedua Jun nanti. Hanya itu saja cara untuk memastikan masa depan beliau bersama pasukan Kedah terjamin.

    Mampukah Pablo Pallares meningkatkan prestasi beliau dan mula membantu Kedah kembali ke jalan kemenangan ? Ataupun beliau memang tidak sesuai dengan sistem Ramon Marcote dan harus diganti oleh penyerang import yang lain ?

    Leave a comment

    Your email address will not be published.