• Apabila Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) mahu merubah wajah pasukan Terengganu ke arah yang lebih maju dan moden pada awal musim ini, ramai yang meragui langkah yang diambil oleh PBSNT ini. Akan tetapi, jika kita melihat kepada prestasi pasukan Terengganu FC dalam saingan Liga setakat ini, nampaknya langkah drastik yang diambil PBSNT berbaloi. Menduduki tangga kedua dan masih belum tewas, Terengganu berpeluang untuk meneruskan rentak cemerlang apabila mereka bakal berdepan juara Liga Super 4 kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim. Kami berpendapat ini adalah pentas terbaik untuk Terengganu melaungkan amaran bahawa mereka sedia untuk mencabar mahkota Liga Super musim ini.

    Arkitek di sebalik kecemerlangan Terengganu FC setakat ini ialah ketua jurulatih mereka iaitu Irfan Bakti. Beliau berjaya mengadunkan pemain tempatan dan juga pemain import menjadi satu unit yang berbahaya dalam saingan Liga. Lihat saja barisan serangan Terengganu yang diterajui oleh Kipre Tchetche, Lee Tuck, Abdul Malik Mat Arif dan Faiz Nasir. Mereka telah berjaya menjaringkan 9 gol dalam saingan Liga setakat ini. Antara yang terbaik dalam negara ketika ini. Di bahagian pertahanan pula, Igor Zonjic dan Nasrullah Hanif Johan membentuk satu gandingan yang mantap. Setiap posisi berjaya menjalankan tugas dengan baik setakat ini.

    Perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim pada esok bukan sekadar perlawanan Liga Super yang biasa. Ego dan juga maruah menjadi taruhan utama di sini. Jika mereka berjaya menewaskan juara empat kali Liga Super ini, ia akan memberikan amaran kepada pasukan lain bahawa kehadiran Terengganu kali ini bukanlah satu perkara yang boleh diambil ringan. Berdasarkan prestasi semasa pasukan Terengganu, tidak mustahil mereka mampu untuk mencipta kejutan esok.

    Menarik untuk kita saksikan pertembungan taktikal antara kedua-dua jurulatih iaitu Irfan Bakti menentang Raul Longhi, Kipre Tchetche menentang Luciano Figueroa dan Lee Andrew Tuck menentang Natxo Insa. Menang maka ganjarannya adalah posisi nombor satu dalam saingan Liga. Siapa yang kalah esok, mereka harus melepaskan takhta atau menyedari bahawa sukar untuk menjadi pasukan utama dalam Liga Super musim ini.

    Leave a comment

    Your email address will not be published.