• Pada malam ini akan berlangsung perlawanan pusingan kedua Piala FA yang bakal menyaksikan pasukan daripada Liga Super, Liga Premier, Liga FAM dan liga sosial berentap bagi layak ke pusingan seterusnya. Pada pusingan pertama, pasukan Liga Super dan Liga Premier telah mendapat bye dan kehangatan pertandingan kali ini diteruskan dengan kemasukan pasukan-pasukan dari kelab liga bawahan yang rata-rata dilabel sebagai underdogs.

    Daripada ini, dua pasukan ini berjaya mara ke pusingan kedua. Sebagai ganjaran mereka, pasukan kerdil Axis-O2 bakal berkunjung ke Stadium UiTM pada Ahad ini menentang pasukan Kuantan FA yang sebelum ini meratah UKM FC 4-0 di dalam saingan Liga Premier minggu lalu. Pada pusingan pertama Piala FA, Axis-O2 bergaya menundukkan Kuala Kangsar SRCC 4-1 di laman sendiri. Pastinya saingan ini akan menarik perhatian peminat bola sepak neutral yang mahu melihat pasukan underdog seperti Axis-O2 terus kekal dalam pertandingan ini.

    Satu pasukan yang turut mara ke pusingan kedua ialah Southern FC yang sebelum ini merakamkan keputusan luar jangka paling besar pada pusingan pertama apabila memalukan Selangor United 2-1 di tempat lawan. Skuad kendalian Gan Chee Lim ini pasti akan bersandarkan kepada wira dua gol mereka iaitu Sharul Afif Shaharudin meskipun halangan kali ini lebih sukar di dalam bentuk satu lagi pasukan United iaitu Melaka United, juga di tempat lawan di Stadium Hang Jebat. Prestasi Melaka United di Liga Super adalah seperti yoyo apabila saling menang dan kalah dalam empat perlawanan liga mereka. Pastinya pasukan Southern FC tidak mempunyai peluang menentang pasukan negeri ini?

    Lain pula halnya bagi Perlis. Pasukan negeri bimbingan Manja Man ini kini terhambat di Liga FAM, kilauan kemenangan Piala Malaysia lebih sepuluh tahun lalu seolah-olah tidak pernah wujud dalam sejarah mereka. Agak kekok apabila mereka dilabel sebagai underdog menentang pasukan UiTM FC di Shah Alam namun itulah hakikatnya yang pert untuk ditelan. UiTM yang belum tewas dalam saingan Liga Premier setakat ini, bakal memberi alu-aluan yang baik kepada bekas jurulatih mereka yang cemerlang membimbing UiTM dalam saingan Liga KPT sedikit masa yang lalu.

    Satu lagi kepulangan bakal berlaku di Stadium Darul Aman malam ini apabila Kedah menerima kunjungan NS Matrix beserta jurulatih baru mereka, Mohd Azraai Khor Abdullah yang mempunyai sejarah yang panjang lagi manis bersama-sama kedua-dua pasukan. Kedah tampak sudah terbangun daripada lena liga, dan dengan impak gandingan dinamik Andik Vermansyah dan Akhyar Rashid, mereka pasti mendapat jolokan pasukan pilihan kali ini menentang Skuad Hoben Jang Hoben yang tumpas 2-1 kepada Terengganu di saingan Liga Super minggu lalu.

    Selain NS Matrix, pasukan Kelantan dan Johor Darul Takzim turut kehilangan khidmat jurulatih mereka. Persembahan Kelantan yang sebelum ini kucar-kacir, kini mula tampak bersemangat dengan kehadiran Pemangku Jurulatih Yusri Che Lah yang menghiburkan dengan gelagat ala Jurgen Kloppnya di ruang teknikal padang. Bangkit di tempat sendiri menentang Perak, Skuad The Red Warriors dijangka tidak banyak menghadapi cabaran menentang pasukan pelapis Terengganu City di Stadium Sultan Muhammed IV pada malam ini

    Bagi JDT pula, peluang menentang Sabah di Stadium Likas bakal menjadi pentas kepada Pemangku Jurulatihnya Raul Longhi untuk kembali ke landasan kemenangan setelah tewas mengejut kepada Song Lam Nghe An dari Vietnam dalam saingan Piala AFC Rabu lalu. Sabah pula tampak bersedia dalam perlawanan ketiga berturut-turut di laman sendiri selepas kemas menewaskan PDRM dan seri dengan Sarawak di dalam dua perlawanan Liga Premier sebelum ini.

    Lain-lain perlawanan menyaksikan PKNS FC berhadapan satu lagi pasukan Terengganu iaitu Hanelang FC di Staum Shah Alam, Terengganu FA berkunjung ke Stadium MBPJ Kelana Jaya menentang kelab Petaling Jaya Rangers, Shahzan Muda FC beradu kekuatan menentang PKNP FC di Stadium Mini Temerloh, Kuala Lumpur menentang Kuching FA, Perak lawan Sarawak dan Felcra bertemu FELDA di dalam derby GLC.

    Turun beraksi pada minggu ini ialah MOF FC yang bakal turun menentang Selangor di Stadium KLFA, MISC-MIFA bertemu UKM FC, Pahang menentang ATM FC di Stadium Darul Makur Kuantan, dan PDRM FC bertemu Pulau Pinang di Stadium Shah Alam.

    Semoga kerancakan saingan FA pusingan kedua ini dapat dirasakan oleh para penyokong yang turun beramai-ramai ke stadium bagi memberikan sokongan kepada bola sepak tempatan.

    Nota: Artikel ini ditulis oleh Saudara Hassan Anas. Selain memiliki kelulusan Sarjana daripada UPM, saudara Hassan Anas turut mempunyai pertauliahan bola sepak FAM sejak tahun 2011 dengan fokus kepada pembangunan bola sepak akar umbi pada peringkat sekolah dan universiti selain cenderung di dalam bidang pentadbiran am bola sepak.

    (Visited 38 times, 1 visits today)

    Leave a comment

    Your email address will not be published.