• Sebentar tadi baru saja selesai undian untuk perlawanan pusingan ketiga Piala FA 2018. Daripada hasil undian tersebut, kami melihat ada perlawanan yang menurut kami adalah perlawanan tumpuan. Antara perlawanan yang akan mendapat perhatian adalah perlawanan antara pasukan Kedah yang akan menghadapi pasukan Pahang. Kelantan akan menentang PKNS FC manakala pasukan Selangor pula akan menentang pasukan Terengganu. Bukan tugas mudah untuk Kedah mempertahankan kejuaraan mereka apabila mereka akan menghadapi pasukan yang mereka tewaskan pada perlawanan akhir edisi lalu.

    Juara 2016, Johor Darul Ta’zim akan menentang UiTM FC, dimana sudah dua edisi sebelum ini mereka bertemu di peringkat ketiga dan kedua-dua perlawanan dimenangi oleh JDT. Pendahulu Liga Perdana, Felda United akan menentang UKM FC. Untuk hasil undian penuh, anda boleh lihat di bawah.

    Sumber Gambar: FMLLP

    Apa yang boleh kita rumuskan di sini adalah peluang kepada pasukan lain untuk muncul juara adalah lebih terbuka. Cuma, juara bertahan, Kedah harus bekerja lebih keras jika mereka mahu mengekalkan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu. Pasukan Pahang saat ini adalah pasukan yang sedang dalam prestasi terbaik. Ancaman terbesar akan datang daripada bahagian sayap Pahang. Menarik untuk saksikan pertembungan antara gandingan Muhamadou Sumareh dan Chan Vathanaka menentang gandingan Andik Vermansah dan Akhyar Rashid. Gandingan sayap mana yang akan lebih dominan ? Menarik untuk kita saksikan.

    Satu lagi perlawanan yang menarik perhatian kami adalah perlawanan antara juara lima kali Piala FA, Selangor yang akan menentang Terengganu FC. Kami menjangkakan Selangor akan berdepan cabaran sukar untuk melangkah ke peringkat seterusnya. Kekalahan 4-1 di tangan Terengganu tempoh hari masih lagi menghantui pasukan Selangor. Prestasi semasa Terengganu FC juga dalam keadaan baik ketika ini.

    Kami juga mengharapkan akan ada “upset” dalam perlawanan peringkat ketiga kali ini. Pasukan kerdil seperti UiTM FC, UKM FC dan PKNP FC diharapkan mampu untuk mencipta kejutan sekaligus memeriahkan lagi saingan Piala FA edisi kali ini. Selamat berjaya kepada semua pasukan.

    Leave a comment

    Your email address will not be published.