• Bekas penyerang berbisa pasukan Selangor ketika era 90-an, Rusdi Suparman “The Superman” dikhabarkan menjadi pilihan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) bagi mengambil alih jawatan ketua jurulaih pasukan daripada jurulatih yang direhatkan ketika ini, P.Maniam. Kami berpendapat Rusdi adalah pilihan yang tepat memandangkan jurulatih berusia 46 tahun ini sudah mempnyai pengalaman dalam dunia kejurulatihan.

    Siapa yang tidak kenal dengan nama Rusdi Suparman. Beliau mendapat gelaran “Superman” kerana gemar menyelak jersinya dan menutup kepalanya, lantas mempamerkan baju dalam yang mempunyai logo ‘Superman’ setiap kali beliau menjaringkan gol. Rusdi juga berjaya membentuk satu gandingan mantap bersama seorang lagi penyerang berbisa Selangor, Azman Adnan. Gandingan “penyerang kembar” ini pernah menjadi salah satu gandingan paling berbahaya dalam saingan Liga Malaysia ketika itu.

    Selain bersama Selangor, Rusdi juga pernah mewakili PKNS FC dan Telekom Melaka FC dalam saingan Liga Malaysia. Setelah bersara dari dunia bola sepak profesional, Rusdi menceburi bidang kejurulatihan pada 2007 dengan menjadi ketua jurulatih bagi pasukan bawah 20 tahun PKNS FC.

    Selain bersama PKNS, Rusdi juga pernah menjadi penolong jurulatih kepada Datuk Ong Kim Swee dalam skuad Harimau Muda dan juga menjadi penolong jurulatih pasukan Kuala Lumpur. Jika kita melihat kepada pengalaman yang dimiliki oleh jurulatih muda ini, ia sudah memadai untuk mengendalikan pasukan seperti Selangor.

    Kami mencadangkan agar Rusdi digandingkan dengan jurulatih sementara pasukan ketika ini iaitu Nazliazmi Nasir bagi menggabungkan tenaga dan idea untuk mengendalikan pasukan Selangor. Kami berpendapat gandingan kedua-dua jurulatih muda ini boleh mengangkat semula maruah pasukan Selangor yang sudah pn tercakar sebelum ini.

    Apa pendapat anda mengenai ura-ura Rusdi Suparman yang dikaitkan bakal mengambil alih kerusi panas sebagai jurulatih pasukan Selangor. Adakah dengan pelantikan Rusdi, ianya boleh mengubati duka awal musim yang dialami oleh pasukan ? Ataupun anda berpendapat Nazliazmi adalah individu yang lebih layak untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh P.Maniam ? Mari kongsikan pandangan anda bersama kami.

    Baca Juga: Penangan Nazliazmi Memang Lain Macam!

    Leave a comment

    Your email address will not be published.