• Kisah Piala Dunia Pertama 1930: Sejarah Bermula di Montevideo

    32 pasukan terbaik di dunia sudah dikenalpasti akan bersaing di Rusia bermula 14 Jun hingga 15 Julai akan datang. Kejohanan kali ini adalah edisi ke-21 pertandingan yang terbesar di dunia ini.

    Sejarah Piala Dunia bermula sejak tahun 1930. Ketika itu sukan bolasepak sudah dipertandingkan dalam Kejohanan Olimpik sejak tahun 1920 dan dimenangi oleh Belgium. Dua edisi berikutnya dimenangi oleh Uruguay iaitu pada tahun 1924 dan 1928.

    Kejayaan acara bolasepak di Olimpik memberi idea kepada badan bolasepak dunia (FIFA) untuk melaksanakan kejuaraan dunia sendiri. Mereka membuat soal selidik ke atas negara yang menganggotai FIFA, bertanya adakah mereka setuju dan mahu mengambil bahagian dalam kejohanan ini.

    Satu badan khas dibentuk untuk tujuan ini. Presiden FIFA, Jules Rimet sendiri yang menjadi penggerak badan ini. Dia dibantu oleh Setiausaha Agungnya yang setia, Henry Delaunay.

    Kongress FIFA di Amsterdam pada 28 Mei 1928 akhirnya memutuskan untuk mengadakan satu kejohanan dunia yang diuruskan oleh FIFA. Hungary, Itali, Belanda, Sepanyol dan Sweden mencalonkan diri sebagai tuan rumah.

    FIFA memilih Uruguay, kerana negara ini dianggap paling layak menjadi tuan rumah. Uruguay adalah penyandang juara acara bolasepak Sukan Olimpik sebanyak dua kali dan kebetulan pula sedang menyambut ulangtahun ke-100 kemerdekaan negara maka pemilihan ini dianggap paling tepat. Malah Uruguay sedia menanggung semua perbelanjaan termasuk kos perjalanan dan penginapan semua negara pasukan yang terlibat.

    Proses persediaan kejohanan Piala Dunia yang pertama ini tidak mudah. Eropah ketika itu sedang dilanda krisis ekonomi. Negara yang terlibat melalui jalan laut yang memakan masa yang lama. Malah banyak kelab keberatan untuk melepaskan pemain terbaik mereka selama dua bulan.

    Akibatnya, banyak negara yang memutuskan untuk menarik diri. Jawatankuasa kejohanan membuat beberapa rombakan syarat untuk memastikan setidaknya ada empat pasukan dari Eropah : Perancis, Belgium, Romania dan Yugoslavia.

    Tiga belas pasukan (tujuh dari Amerika Selatan, empat dari Eropah dan dua dari Amerika Utara) menyertai kejohanan ini. Piala dunia pertama ini dibuka di Estadio Centenario yang baru di Montevideo pada tarikh keramat 18 Julai 1930. Pertandingan diadakan di tiga negeri.

    Pasukan yang bertanding dibahagikan kepada empat kumpulan, pemenang dari setiap kumpulan akan layak ke separuh akhir. Dua perlawanan pertama dijalankan serentak yang dimenangi oleh Perancis dan Amerika Syarikat masing-masing mengalahkan Mexico 4 – 1 dan Belgium 3 – 0.

    Lucien Laurent, pemain Perancis mencatat nama sebagai penjaring pertama dalam sejarah Piala Dunia. Penjaga gol dari Amerika Syarikat, Jimmy Douglas pula direkodkan sebagai pencatat “clean sheet” pertama.

    Argentina, Uruguay, Amerika Syarikat dan Yugoslavia memenangi kumpulan masing-masing dan layak ke separuh akhir. Uruguay dan Argentina akhirnya bertemu di peringkat akhir dimana pasukan pilihan, Uruguay menjadi juara Piala Dunia yang pertama ini. Pertandingan akhir ini dijalankan di Centenario, disaksikan oleh 93 ribu penonton.

    Kejohanan pertama ini sangat berjaya, tapi tuan rumah kecewa kerana hanya terdapat empat wakil dari Eropah. Kemarahan itu berlanjutan lama, sehinggakan ketika Itali manjadi tuan rumah bagi edisi seterusnya empat tahun kemudian, Uruguay menarik diri. Ia menjadikan satu-satunya negara penyandang juara yang tidak mengambil bahagian untuk mempertahankan kejuaraan.

    Dalam edisi pertama Piala Dunia 1930, Guillermo Stabe dari Argentina menjadi penjaring terbanyak dengan 8 gol. 70 gol telah dicipta dalam 18 perlawanan yang berlangsung. Jumlah keseluruhan penonton pula mencapai 590 ribu menjadikan purata penonton sebanyak 32 ribu bagi satu perlawanan.

    Sumber : pialadunia.tempo.co

    (Nota: Artikel ini telah dikarang oleh N.by)

     

    Baca Juga: Jom Jalan-Jalan Rusia

    Leave a comment

    Your email address will not be published.