• Perlawanan pertama Azraai Khor bersama pasukan Negeri Sembilan musim ini bermula dengan kekalahan di tangan pasukan Kedah dalam saingan Piala FA. Jaringan lewat Baddrol Bakhtiar memadam api perjuangan pemain Negeri Sembilan bermula daripada minit pertama hinggalah ke tambahan masa. Tetapi, berdasarkan permainan semalam, kami berpendapat ada sinar baru buat pasukan Negeri Sembilan musim ini.

    Walaupun majoritinya Negeri Sembilan bermain secara bertahan dalam pada perlawanan semalam, namun barisan pertahanan Negeri Sembilan dilihat lebih kemas berbanding perlawanan sebelum ini. Kecemerlangan pertahanan import, Renars Rode dan penjaga gol, Ilham Amirullah memainkan peranan yang besar. Dalam perlawanan semalam, Azraai menurunkan keempat-empat pemain import pasukan kecuali Nicolas Velez yang masih cedera. Akan tetapi, bagi kami hanya seorang saja pemain import yang menyerlah pada perlawanan semalam iaitu Renars Rode. Pemain import yang lain harus segera mempertingkatkan mutu permainan mereka. Jika tidak, maka anda sudah pasti akan digantikan pada jendela perpindahan kedua nanti.

    Bahagian tengah dan juga serangan Negeri Sembilan masih boleh dipertingkatkan oleh Azraai Khor. Jelas pada perlawanan semalam kedua-dua bahagian ini tidak berfungsi dengan baik. Agak susah untuk barisan serangan Negeri Sembilan menembusi benteng pertahanan Kedah semalam. Bahagian tengah Negeri Sembilan juga gagal untuk membantu ketika transisi serangan mahupun bertahan.

    Bagi pasukan Kedah pula, Ramon Marcote telah menerapkan gaya permainan yang menjadi pemintaan peminat sejak beliau dilantik sebagai ketua jurulatih pada awal musim iaitu gaya permainan “tiki-taka”. Dalam perlawanan semalam, Marcote meletakkan Sandro Da Silva bermain sebagai “false 9” dan menurut kami beliau bermain dengan baik. “Flow” permainan Kedah juga lebih lancar berbanding perlawanan sebelum ini. Cuma saja tindakan penyudah di hadapan gawang boleh dipertingkatkan lagi oleh barisan serangan Kedah.

    Kami berpendapat kedua-dua jurulatih telah berjaya mendapat sesuatu daripada perlawanan semalam. Bagi Azraai beliau telah mengenal pasti bahagian mana yang perlu diperbaiki. Bagi Marcote pula, “tiki-taka” beliau menjadi tetapi perlu diasah lagi bagi menyempurnakan percaturan tersebut. Ia bagaikan sinar baru buat kedua-dua pasukan.

    Baca Juga: Kedah Ujian Pertama Bagi Azraai Khor!

    Leave a comment

    Your email address will not be published.