• Tamat sudah kempen kelayakkan Piala Asia 2019 buat pasukan negara. Pada perlawanan terakhir semalam, kita tewas 2-1 kepada pemenang kumpulan B, Lebanon. Akan tetapi, perlawanan semalam nyata berbeza dengan perlawanan sebelum ini. Para pemain negara dilihat sangat bersemangat dan mempunyai aura yang berbeza. Semangat lama Harimau Malaya nampaknya telah kembali!

    Tan Cheng Hoe membawa barisan pemain yang dilabel sebagai “cap ayam” oleh seorang legenda bola sepak negara untuk menentang Lebanon. Tetapi, para pemain yang diturunkan nyata membuktikan bahawa mereka juga mampu untuk menyahut cabaran negara di pentas yang labih tinggi. Tan Cheng Hoe dilihat berjaya menerapkan gaya permainan yang beliau mahu dengan menggunakan pemain yang sedia ada. Kami merasakan hal ini boleh berlaku kerana tiada “tekanan” dan juga beliau “bebas” untuk merancang apa yang beliau mahu dalam skuad kebangsaan.

    Semangat para pemain pada perlawanan semalam juga dilihat berbeza berbanding dengan sebelumnya. Mereka bermain seperti tiada beban yang harus ditanggung serta bermain secara bermati-matian bagi memastikan Malaysia mengutip keputusan yang positif. Kami berpendapat hanya nasib tidak menyebelahi skuad negara dengan beberapa percubaan terkena palang gol.

    Walaupun kalah, tetapi kami merasakan seperti sedang menikmati kemenangan. Kemenangan yang kami maksudkan di sini adalah melihat semangat juang serta sikap tidak mengenal kalah para pemain walaupun sudah tiada harapan untuk layak ke pusingan akhir. Inilah yang kita perlukan untuk membawa pasukan kebangsaan kita ke tahap yang labih baik.

    Syabas kami mahu ucapkan kepada Tan Cheng Hoe dan juga para pemain di atas semangat juang yang ditunjukkan pada perlawanan semalam. Apa yang pasti, sebagai peminat bola sepak negara kami berharap para pemain dapat mengekalkan prestasi dan juga rentak bagi menentang Bhutan pada ahad ini.

    Ayuh Malaysia! Mari kita hadir ke stadium pada Ahad ini dan berikan sokongan sepenuhnya kepada wira-wira negara di atas padang. Mereka perlukan anda untuk mengembalikan semangat lama Harimau Malaya dan membawa Malaysia ke tahap yang lebih baik. Selamanya Harimau Malaya!

    Baca Juga: Era Baru Persatuan Bola Sepak Malaysia ?

    Leave a comment

    Your email address will not be published.