• Prestasi tidak menentu penyerang import Kedah, Pablo Pallares nyata mengundang kritikan dari para peminat pasukan Kedah. Sebahagian daripada peminat berpendapat bahawa Pablo tidak sesuai dengan gaya permainan yang diterapkan oleh Ramon Marcote. Lantas, peminat mahukan Pablo digugurkan. Di sini, ada satu nama yang dikhabarkan bakal menggantikan Pablo. Nama Sylvano Comvalius dikatakan bakal menjadi penyerang Kedah apabila jendela perpindahan kedua dibuka.

    Sylvano Comvalius menjadi penyerang sensasi dalam saingan Liga 1 Indonesia musim lalu. Beliau berjaya menjaringkan 37 gol dalam saingan liga ketika mewakili pasukan Bali United. Prestasi cemerlang Sylvano ini sudah pasti menarik minat beberapa kelad di sekitar Asia Tenggara untuk mendapatkan khidmat beliau.

    Ada pasukan dari Liga Malaysia turut menunjukkan minat terhadap khidmat Sylvano. Pasukan tersebut ialah pasukan Felda United. Namun, mereka terpaksa melupakan hasrat untuk mendapatkan penyerang dari Belanda itu kerana permintaan gaji Sylano yang agak tinggi. Lantas mereka mendapatkan Gilberto Fortunato sebagai pengganti.

    Selepas beraksi cemerlang bersama Bali United, Sylvano memutuskan untuk menyertai pasukan Liga Thailand iaitu Suphanburi. Namun, beliau dilihat agak bergelut untuk mencipta semula prestasi seperti mana sebelum ini bersama pasukan baru beliau. Sylvano masih gagal untuk menjaringkan sebarang gol buat Suphanburi. Ini jauh berbeza dengan pencapaian beliau ketika bersama Bali United.

    Jika Kedah memutuskan untuk mengambil khidmat Sylvano, kami berpendapat ini akan menjadi satu perjudian yang bakal menentukan nasib mereka. Prestasi semasa Sylvano tidak berada dalam prestasi yang baik ketika ini. Malah, Pablo Pallares mempunyai ratio jaringan lebih baik daripada Sylvano.

    Akan tetapi, jika Kedah benar-benar mahukan penyerang baru pada separuh masa kedua musim ini, maka Sylvano adalah pemain yang berbaloi untuk diambil. Rekod jaringan beliau sebelum ini memang mengagumkan.

    Apa pendapat anda mengenai Sylvano Comvalius yang dikhabarkan bakal menggantikan Pablo Pallares sebagai penyerang import pasukan Kedah ? Adakah beliau pemain yang sesuai ? Atau pengurusan pasukan Kedah perlu mencari pemain lain yang lebih sesuai ?

    Baca Juga: Pablo Pallares, Bekas Penyerang Atletico Yang Tidak Menjadi

    Leave a comment

    Your email address will not be published.