• Teka-teki mengenai Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mahu meletak jawatan sebagai presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akhirnya terjawab apabila hari ini baginda mengesahkan perkara tersebut. Kini, para peminat bola sepak tanah air ternanti-nanti siapa yang akan menggantikan beliau. Besar tanggungjawab yang menanti pengganti TMJ kelak.

    Keputusan TMJ untuk meletak jawatan nyata amat disayangkan oleh rata-rata peminat bola sepak negara. Mereka masih lagi mahukan TMJ untuk terus menjadi presiden badan induk bola sepak negara itu. Mereka juga berpendapat sukar untuk mencari pengganti yang mempunyai visi serta misi yang sama seperti TMJ.

    Kami juga berpendapat sedemikian. peletakkan jawatan ini amatlah disayangkan. Lihat saja pelbagai perubahan yang telah dilakukan oleh TMJ. Dari segi peningkatan mutu Liga Malaysia serta berjaya menarik minat pelabur besar untuk melabur dalam saingan Liga Malaysia. Ini adalah satu kejayaan yang boleh dibanggakan walaupun TMJ memegang tampuk pemerintahan dalam jangka masa yang singkat.

    Sesiapa saja yang dipilih bagi menggantikan TMJ kelak mempunyai tanggungjawab yang besar untuk dipenuhi. Banyak perkara yang harus diberi perhatian antaranya prestasi skuad kebangsaan. Pengganti TMJ kelak haruslah mempunyai perancangan yang rapi tentang bagaimana menaikkan kedudukan pasukan kebangsaan dalam ranking FIFA.

    Bukan masalah ranking saja yang perlu diberi perhatian. Pembangunan akar umbi serta pemain muda juga harus diberi perhatian yang khusus oleh presiden FAM pada masa akan datang. Apatah lagi prestasi skuad bawah 23 tahun negara sedang berada dalam prestasi yang baik. Jadi presiden harus memastikan perkara ini berkekalan.

    Terima kasih kami ucapkan kepada Tunku Mahkota Johor kerana telah berjaya mengubah landskap bola sepak negara walaupun tempoh pemerintahan Tunku begitu singkat. Usaha dan juga perancangan yang telah dirangka bakal diteruskan oleh presiden seterusnya.

    Bagi pengganti TMJ, sediakan mental dan juga fizikal anda. Pastikan kedua-duanya berada dalam kedudukan yang baik kerana banyak perkara yang perlu anda selesaikan. Selamat maju jaya!

    Baca Juga: Yusoff Mahadi Atau Subahan Kamal ?

    Leave a comment

    Your email address will not be published.