• Baru-baru ini, kami dijemput untuk menghadiri satu perbincangan bersama Perbadanan Stadium Malaysia yang bertempat di KL Sports City. Tujuan kami diundang adalah kerana mereka prihatin tentang isu yang kami hadapi ketika membeli tiket perlawanan persabahatan antara Malaysia menentang Mongolia tempoh hari.

    Pihak Perbadanan Stadium telah menjelaskan dan akan mengambil langkah berjaga-jaga agar perkara ini tidak akan berulang di masa hadapan. Kami juga mahu mengucapkan terima kasih di atas penjelasan yang diberi oleh mereka. Inikan Bola juga menyokong segala langkah yang diambil oleh PSM berkenaan penjualan tiket di atas talian.

    Kami meneruskan perbincangan dengan sesi berkenalan antara pihak Inikan Bola dengan Perbadanan Stadium Malaysia. Kemudiannya, pihak PSM membawa kami untuk melihat fasiliti yang ada di Stadium Bukit Jalil yang dijenamakan semula kepada KL Sports City semasa temasya Sukan SEA 2017 yang lalu. Tujuan penjenamaan ini adalah untuk memberi nafas baru kepada kompleks sukan tersebut. Penjenamaan ini juga menekankan keselesaan Orang Kurang Upaya (OKU). Sebab itulah ada beberapa kemudahan yang boleh digunakan olej OKU.

    Pihak PSM menerangkan kepada kami bahawa stadium tertutup boleh digunakan untul pelbagai aktiviti seperti konsert dan juga aktiviti sukan. PSM juga menunjukkan kepada kami fasiliti tambahan yang terdapat dalam Axiata Arena iaitu VIP Suite. Suite ini digunakan bagi menempatkan orang kenamaan dan juga tetamu kehormat. Setelah itu, kami berjalan sedikit bagi melihat pusat akuatik yang ada di KL Sports City. PSM menyatakan bahawa orang ramai boleh menghadiri kelas renang yang dikendalikan oleh D’Swim Academy.

    Kami juga dibawa berjalan-jalan di sekitar stadium bagi melihat kemudahan yang ada seperti gelanggang futsal dan juga bola keranjang. PSM juga mengalu-alukan orang ramai untuk hadir dan menggunakan fasiliti yang sedia ada. Orang ramai tinggal menghubungi PSM bagi tempahan dan setakat ini tiada bayaran yang dikenakan. Mungkin akan ada bayaran dikenakan pada masa akan datang. Kami akan bawakan lebih lagi fasiliti dan juga kemudahan yang ada pada penulisan akan datang.

    Apa yang kami boleh katakan setelah mengadakan sesi perbincangan dan juga lawatan ini adalah kami berasa bangga apabila melihat segala kemudahan yang terdapat di KL Sports City ini. Sudah tiba masanya negara kita mempunyai satu bandar sukan yang maju dan juga serba lengkap seperti KL Sports City.

    Syabas diucapkan kepada Perbadanan Stadium Malaysia sekali lagi!

    Baca Juga: Era Baru Bagi Persatuan Bola Sepak Malaysia ?

    Leave a comment

    Your email address will not be published.