• Jika seseorang jurulatih dalam kancah Liga Malaysia tidak berjaya memberikan hasil seperti yang diharapkan, besar kemungkinan beliau akan direhatkan bagi memberi laluan kepada individu lain untuk mengambil tugas beliau selaku ketua jurulatih pasukan. Istilah merehatkan jurulatih ini bukan perkara baru dalam Liga Malaysia. Ianya sudah dipraktikkan sejak musim 2013 lalu. Ramai juga jurulatih yang menjadi mangsa kepada terma ini.

    Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan menyelar tindakan persatuan bola sepak yang mengambil langkah merehatkan jurulatih apabila sesebuah pasukan itu tidak berada dalam prestasi yang baik. Menurut beliau, tindakan yang diambil persatuan ini adalah satu tindakan yang pengecut dan tidak profesional.

    Bagi B.Sathianathan, jika pengurusan pasukan tersebut sudah tidak mahukan khidmat jurulatih yang berada dalam pasukan ketika ini, mereka boleh saja berunding dengan jurulatih dan mencari jalan untuk melepaskan jurulatih tersebut. Dalam erti kata lain, pecat terus lah! Jangan ambil tindakan merehatkan yang kita sudah sedia maklum dimana jurulatih tersebut tidak akan diberikan tugas setelah itu.

    Kami bersetuju dengan pandangan yang dilontarkan jurulatih berpengalaman negara ini. Jika anda sudah tidak mahu, buang. Jangan gunakan kononnya terma yang lebih sopan dengan merehatkan jurulatih tersebut. Sukan bola sepak ini memang kadang-kadang kejam. Tetapi, itulah cara terbaik untuk menamatkan hubungan antara kedua-dua belah pihak.

    Dengan pemecatan atau melepaskan jurulatih, pasukan juga tidak perlu untuk mengeluarkan wang bagi membayar gaji bulanan terhadap jurulatih yang direhatkan. Mereka hanya perlu membayar wang pampasan kepada jurulatih tersebut. Hal ini juga mengelakkan adanya permasalahan yang akan timbul di antara pasukan dan jurulatih yang direhatkan.

    Kami berharap tiada lagi penggunaan istilah jurulatih yang direhatkan dalam kancah Liga Malaysia selepas ini. Diharapkan P.Maniammenjadi mangsa yang terakhir kepada terma merehatkan jurulatih ini. Sampai bila kita nak menggunakan terma lapuk seperti ini ? Jika anda sudah tidak mahu, pecat. Jangan rehatkan. Walaupun kelihatan seperti kejam, namun ini adalah tindakan yang labih profesional dalam dunia bola sepak.

    Leave a comment

    Your email address will not be published.