Sumber Gambar: Kelantan FA

Pasukan Kelantan antara yang membuat persediaan awal bagi membawa masuk beberapa muka baru pada jendela perpindahan kedua Jun ini. Setakat ini, Kelantan telah melepaskan 7 orang pemain. Nampaknya Kelantan mahu membuat pengubahsuaian dalam pasukan mereka.

Antara pemain yang dilepaskan oleh pasukan Kelantan setakat ini adalah Ferdinand Sinaga, Nor Farhan Muhammad, Shukri Abdul Hamid dan Hattaphon Bun An. Selain mahu mengurangkan beban kewangan yang ditanggung pasukan, kami berpendapat Kelantan sudah mempunyai senarai pendek pemain yang akan di bawa masuk pada Jun ini.

Seorang pemain import sudah pasti akan dibawa masuk oleh pengurusan pasukan bagi menggantikan tempat Ferdinand Sinaga. Beberapa pemain tempatan juga akan dibawa masuk bagi menggantikan pemain lain yang dilepaskan. Jika kita melihat, berkemungkinan besar pengurusan pasukan akan membawa masuk seorang pemain di bahagian serangan.

Jika Kelantan tidak mahu berbelanja besar dan mahu berjimat pada jendela perpindahan kedua nanti, sudah pasti mereka akan menggunakan tenaga muda seperti Nik Akif Syahiran, Danial Ashraf dan Shafiq Shaharudin. Kami merasakan sudah tiba masanya pemain muda ini diberi kepercayaan untuk tampil dalam kesebelasan utama pasukan.

Pemain import dan juga tempatan yang sedia ada tidak boleh merasa mereka sudah selamat daripada pengubahsuaian ini. Ada beberapa pemain yang kami rasakan bakal digantikan pada jendela perpindahan kedua, terutamanya pemain import seperti Bruno Lopes dan juga Cassio De Jesus. Kedua-dua pemain masih belum menunjukkan potensi sebenar mereka.

Penyerang kegemaran peminat, Mohammed Ghaddar juga berada dalam kedudukan berjaga-jaga. Sejak membuat kepulangan ketiga bersama Kelantan, Ghaddar masih lagi gagal untuk memberi impak positif kepada pasukan. Satu-satunya pemain import yang boleh berasa selesa ialah Do Dong-hyun kerana beliau saja yang menyinar setakat ini.

Apa pendapat anda mengenai tindakan pasukan Kelantan yang melepaskan 7 pemain mereka setakat ini ? Adakah tindakan mereka ini adalah satu tindakan yang tepat ? Ataupun mereka mengambil keputusan terburu-buru dengan melepaskan 7 pemain ini ?

Baca Juga: Apa Cerita Sampai Nak Boikot Jurulatih ?

Leave a Reply