Sumber Gambar: NSTP

Setelah melepaskan ramai pemain sebelum ini, nampaknya pasukan Kelantan masih belum lagi selesai untuk menendang pemain keluar daripada pasukan. Baru-baru ini, pemain Korea Selatan, Do Dong-hyun dikhabarkan akan menjadi mangsa seterusnya untuk digugurkan.

Ada banyak spekulasi mengenai berita Dong-hyun yang dikatakan bakal digugurkan. Antara punca yang dipercayai menjadi sebab mengapa Dong-hyun bakal digugurkan adalah beliau tidak menghormati ketua jurulatih pasukan, Fajr Ibrahim.

Sebelum ini, Kelantan sudah melepaskan dua pemain import mereka iaitu Bruno Lopes kerana masalah prestasi dan Ferdinand Sinaga yang mahu menamatkan kontrak beliau bersama pasukan. Selain pemain import, Kelantan juga melepaskan beberapa pemain tempatan seperti Nor Farham Mohammad.

Jika benar Kelantan melepaskan Dong-hyun, maka mereka hanya mempunyai Mohammed Ghaddar dan Cassio de Jesus dalam pasukan manakala Morgaro Gomis pula tidak didaftarkan untuk saingan musim ini. Satu risiko yang besar jika mereka benar-benar mengambil keputusan tersebut.

Ketika di bawah bimbingan Yusri Che Lah, Dong-hyun berjaya mempamerkan aksi terbaik. Siapa boleh lupa jaringan hatrik Dong-hyun ketika Kelantan menewaskan Perak 3-2 pada Februari lalu. Namun,di bawah bimbingan Fajr Ibrahim, Dong masih lagi belum menunjukkan prestasi terbaik beliau.

Penulis berpendapat bahawa Fajr Ibrahim dan juga pihak pengurusan pasukan Kelantan harus menunggu sehingga jendela perpindahan kedua Liga Malaysia dibuka pada pertengahan Mei ini jika mereka mahu melepaskan mana-mana pemain. Ini kerana ketika ini mereka sedang berada dalam kedudukan bahaya dalam saingan Liga.

Jadi, Kelantan perlukan pemain yang boleh memberikan saingan sekurang-kurangnya sehingga jendela perpindahan dibuka dimana mereka boleh membawa masuk pemain baru. Jika ada pemain yang dilepaskan, mereka akan kekurangan pemain dan ini agak bahaya jika ada pemain lain yang mengalami kecederaan.

Walau apa pun, kita harus menunggu pengumuman daripada presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan mengenai pemain import mana yang akan digugurkan. Berkemungkinan besar bukan Dong-hyun yang menjadi mangsa seterusnya tetapi pemain lain.

Baca Juga: Barisan Muda Kelantan Tidak Bernasib Baik

Leave a Reply