Sumber Gambar: Pahang FA

Apabila Matthew Davies tidak dapat diturunkan dalam kesebelasan utama, tugas selaku ketua pasukan Pahang akan dipilikul oleh seorang lagi pemain pertahanan, Muslim Ahmad. Ketika pasukan Pahang menewaskan Melaka United minggu lalu, Muslim bermain dengan baik dan berjaya mempertahankan pintu gol Pahang daripada dibolosi.

Sejak menyertai pasukan Pahang pada musim lalu, Muslim berjaya menemui semula prestasi sepertimana ketika tahun 2010 hingga 2012 dimana beliau memperkenalkan diri kepada saingan Liga Malaysia. Walaupun tidak secara keseluruhan, namun kita boleh melihat aksi Muslim dalam dua musim kebelakangan ini lebih baik berbanding musim sebelumnya.

Untuk saingan musim ini, Muslim digandingkan dengan Afif Amiruddin di bahagian pertahanan setelah seorang pemain import digugurkan bagi memberi laluan kepada penyerang import, Francis Forkey Doe.

Dengan gandingan Muslim-Afif, pasukan Pahang antara pasukan yang paling sedikit dibolosi dalam saingan Liga Super dimana mereka hanya melepaskan empat gol, lebih satu dibelakang pendahulu Liga, Johor Darul Ta’zim. Ini menunjukkan betapa bagusnya barisan pertahanan pasukan Pahang.

Gandingan Muslim-Afif juga menjadi satu-satunya gandingan pertahanan yang menggunakan khidmat pemain tempatan dalam saingan Liga ketika ini. Walaupun begitu, kedua-dua pemain nampak serasi dan berjaya membentuk satu gandingan yang mantap bagi melindungi Helmi Eliza Elias di pintu gol.

Hal ini juga menunjukkan bahawa pemain tempatan juga mampu untuk menyerlah sekiranya mereka diberi kepercayaan dan peluang untuk membuktikan kemampuan mereka dengan diturunkan dalam kesebelasan utama.

Apa yang pasti, jika Muslim Ahmad boleh mengekalkan prestasi semasa, tidak mustahil ketua jurulatih skuadkebangsaan, Tan Cheng Hoe akan memanggil beliau untuk menyertai skuad kebangsaan. Sudah lama kita tidak melihat pemain yang menjadi sebahagian daripada pasukan yang memenangi Piala AFF Suzuki pada 2010 ini.

Jadi apa pendapat anda mengenai peningkatan yang ditunjukkan oleh Muslim Ahmad sejak menyertai pasukan Pahang musim lalu ? Adakah dengan prestasi semasa Muslim, beliau boleh dipertimbangkan untuk menyertai pasukan kebangsaan di bawah bimbingan Tan Cheng Hoe ?

Baca Juga: Pahang Pastikan JDT Tidak Terlalu Selesa Di Puncak

Leave a Reply