• Pada perlawanan menentang Negeri Sembilan minggu lalu, jurulatih Selangor, Nazliazmi Nasir memutuskan untuk memberikan peluang kepada pemain muda, Sean Eugene Selvaraj tampil dalam kesebelasan utama. Sean tampil dengan baik dan beliau juga berjaya menjaringkan satu gol dalam perlawanan tersebut.

    Ketiadaan Ilham Udin yang pulang ke Indonesia untuk kejohanan Anniversary Cup dan kecederaan yang dialami oleh Azamuddin Akil memberikan ruang kepada Sean untuk tampil dalam kesebelasan utama. Walaupun diletakkan di posisi sayap, namun Sean seperti tidak mengalami masalah untuk bermain di posisi tersebut.

    Sean dilihat masih lagi cuba untuk menyesuaikan diri pada 10 minit pertama perlawanan. Setelah itu, kita baru melihat gelecekan serta kawalan bola yang baik daripada pemain muda berusia 22 tahun ini. Sean juga berjaya menghidu peluang yang terhidang di dalam kotak penalti dan berjaya menjaringkan satu gol.

    Di sini, ada beberapa aspek yang penulis rasakan boleh dipertingkatkan lagi oleh Sean. Antaranya ialah work rate beliau di dalam padang. Penulis melihat kadang-kala Sean lambat untuk memberi bantuan kepada Rufino dan juga Amri ketika mengatur serangan. Ada kalanya Sean juga gagal untuk membantu barisan pertahanan ketika pasukan dalam mod bertahan.

    Selain itu, penulis juga bersetuju dengan komen ketua jurulatih Selangor, Nazliazmi Nasir yang mahukan Sean memperbaiki sentuhan dan juga disiplin beliau di dalam dan luar padang.

    Sebagai tambahan, Sean juga perlu meningkatkan aspek fizikal beliau kerana penulis lihat Sean mudah untuk kehilangan bola apabila melakukan physical contact bersama pemain lawan. Jika Sean boleh memperbaiki aspek yang telah disebutkan di atas, tidak mustahil beliau boleh menjadi pilihan Nazliazmi untuk diturunkan dalam kesebelasan utama.

    Walau apa pun, semua pasukan yang bertanding dalam saingan Liga Malaysia perlu memberi pendedahan yang lebih kepada pemain muda seperti Sean Eugene Selvaraj ini. Terutamanya pemain muda di bahagian serangan kerana sudah lama pasukan kebangsaan kita ketandusan pemain di bahagian serangan sejak gandingan emas Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha pada 2010.

    Baca Juga: Masih Banyak Yang Perlu Diperbaiki Selangor

    Leave a comment

    Your email address will not be published.