• Kemarau Kemenangan pasukan kebangsaan telah berakhir! Akhirnya Malaysia mengutip kemenangan di peringkat antarabangsa apabila berjaya menewaskan pasukan Bhutan dengan jaringan 7-0! Satu persembahan yang menakjubkan ditunjukkan oleh anak-anak buah Tan Cheng Hoe. Kemenangan malam ini juga menjadi kemenangan pertama Tan Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan.

    Persembahan separuh masa pertama merupakan persembahan terbaik yang pernah kita lihat sejak dua tahun kebelakangan ini. Semua posisi berfungsi dengan baik, bermula daripada barisan pertahanan hinggalah barisan serangan. Para pemain juga bijak untuk menghidu peluang serta memanfaatkan kelemahan pasukan Bhutan.

    Pemain yang paling mendapat perhatian pada perlawanan sebentar tadi ialah tak lain dan tak bukan ketua pasukan negara, Zaquan Adha. Beliau diletakkan sebagai penyerang utama oleh Tan Cheng Hoe. Dan keputusan beliau untuk meletakkan Zaquan di posisi tersebut nyata berbaloi!

    Sumber Gambar: FAM

    “Off ball movement” serta ketajaman Zaquan menjadi mimpi ngeri buat pemain pertahanan Bhutan. Selain menjaringkan gol, Zaquan juga menyumbang satu “assist” untuk gol Wan Zack Haikal pada awal permainan. Zaquan juga bagai jawapan yang semua peminat nantikan untuk menyelesaikan masalah serangan pasukan kebangsaan yang sudah sekian lama tiada jalan penyelesaian.

    Selain persembahan Zaquan, persembahan Nazmi Faiz Mansor juga wajar diberikan pujian. Kawalan serta hantaran bola beliau nyata menjadi duri dalam daging buat pasukan lawan. Kami berpendapat jika Nazmi Faiz mampu untuk mengekalkan prestasi seperti saat ini, beliau boleh menggantikan Safiq Rahim sebagai perancang utama pasukan kebangsaan.

    Sumber Gambar: FAM

    Tahniah kepada barisan pemain negara yang beraksi dengan cemerlang pada perlawanan sebentar tadi. Berkat kerja keras serta semangat mereka, kemarau kemenangan pasukan kebangsaan selama lebih daripada setahun dapat diakhiri dengan kemenangan besar.

    Jadikan kemenangan ke atas Bhutan ini sebagai satu batu loncatan untuk kita memperbaiki prestasi pasukan kebangsaan. Jadikan kemenangan ini sebagai satu motivasi untuk kita beraksi lebih baik lagi buat Malaysia pada perlawanan akan datang. Tahniah Malaysia! Selamanya Harimau Malaya!

    Baca Juga: Kemenangan Pertama Tan Cheng Hoe ?

    Leave a comment

    Your email address will not be published.