• Hari yang ditunggu-tunggu peminat bola sepak negara telahpun tiba! Hari ini, Malaysia akan menentang Bhutan dalam satu perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil. Perlawanan ini dianggap penting kerana skuad negara sangat perlukan kemenangan pertama di peringkat antarabangsa selama lebih setahun.

    Peminat bola sepak negara nyata berada dalam keadaan positif namun berjaga-jaga. Mereka posistif kerana barisan pemain negara menunjukkan persembahan cemerlang ketika perlawanan menentang Lebanon selasa lalu. Mereka juga berjaga-jaga kerana pasukan Bhutan juga mempunyai wow factor mereka yang tersendiri.

    Apa yang kita boleh jangkakan dalam perlawanan ini ialah jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe akan mengambil langkah berjaga-jaga dalam memilih barisan pemain yang akan diturunkan. Beliau berkemungkinan besar bakal menurunkan kesebelasan utama terkuat bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

    Pemain seperti Irfan Zakaria, Nazmi Faiz Mansor, Akhyar Rashid dan Zaquan Adha sudah pasti bakal diturunkan. Manakala Shahrel Fikri, Wan Zack Haikal dan Syafiq Ahmad mungkin akan diturunkan pada separuh masa kedua bagi memastikan rentak permainan skuad negara tidak terganggu. Kita juga berpeluang untuk menyaksikan beberapa pemain yang akan membuat penampilan pertama bersama skuad kebangsaan.

    Bagi pasukan Bhutan pula, mereka akan turun tanpa khidmat ketua pasukan mereka, Karma Shedrup yang terpaksa memenuhi tuntutan kerja sebagai juruterbang bersama Druk Air. Namun, mereka masih mempunyai Bhutanese Ronaldo, Chencho Gyeltshen yang mampu memberi ancaman kepada benteng negara. Barisan pertahanan negara harus memberikan perhatian khusus kepada pemain ini.

    Kemenangan pertama dalam tempoh lebih setahun bakal menjadi Happy Ending kepada segala permasalahan yang telah dihadapi oleh skuad kebangsaan. Tiada keputusan lain yang boleh diterima oleh peminat melainkan kemenangan hari ini. Diharapkan barisan pemain yang diturunkan kelak bakal menampilkan persembahan yang cemerlang.

    Mari kita sama-sama menuju ke stadium hari ini bagi memberikan kepada pemain skuad kebangsaan. Dengan kehadiran anda semua, sudah pasti pemain akan lebih bersemangat dan lebih dahagakan kemenangan. Selamat maju jaya Harimau Malaya!

    Leave a comment

    Your email address will not be published.