• Apabila bekas presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tunku Ismail Sultan Ibrahim menghantar jurulatih skuad bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee dan pembantu beliau, Brad Maloney untuk berguru ke Sepanyol bersama Atletico Madrid, peminat bola sepak negara memberi respon yang positif terhadap langkah ini.

    Mereka berpendapat bahawa Datuk Ong Kim Swee boleh memperkasakan lagi ilmu kejurulatihan beliau apabila berguru dengan salah satu pakar taktikal bola sepak Eropah iaitu Diego Simeone.

    Menurut laporan Goal.com, Datuk Ong Kim Swee memuji fasiliti dan juga komitmen yang ditunjukkan oleh Atletico Madrid. Beliau juga kagum dengan barisan kejurulatihan Atletico yang dipimpin oleh Diego Simeone.

    Akan tetapi, Datuk Ong enggan untuk menjelaskan sama ada ilmu yang beliau dapat ketika berguru di Atletico akan digunakan dalam pasukan bawah 23 tahun ataupun tidak. Ketika ini, pasukan bawah 23 tahun negara menggunakan formasi 3-4-3. Dimana menggunakan formasi ini, Malaysia mendapatpingat perak Sukan SEA 2017 dan mara ke peringkat suku akhir Piala Asia Bawah 23 Tahun.

    Datuk Ong Kim Swee mula menggunakan formasi 3-4-3 sekembalinya beliau daripada berguru bersama kelab kepunyaan Tan Sri Tony Fernandes, Queens Park Rangers pada awal 2017 lalu. Beliau dilihat sudah selesa menerapkan formasi ini ke atas pasukan bawah 23 tahun negara.

    Menurut penganalisis kami iaitu Encik Maniam, adalah lebih baik untuk Datuk Ong terus menggunakan formasi yang telah terbukti berjaya di peringkat antarabangsa. Malah, Encik Maniam juga mencadangkan pasukan bawah 21 serta 19 tahun juga perlu menggunakan formasi sedia ada bagi membentuk DNA bola sepak.

    Walau apa pun, diharapkan ilmu yang diperoleh oleh Datuk Ong Kim Swee daripada sesi pembelajaran bersama Atletico Madrid dapat membantu dari segi kemajuan bola sepak negara.Selain itu, beliau juga boleh berkongsi ilmu dengan jurulatih lain dalam negara.

    Apa pendapat anda mengenai sesi pembelajaran Datuk Ong Kim Swee bersama pasukan Atletico Madrid ? Adakah Datuk Ong patut mengubah corak permainan sedia ada ? Ataupun beliau patut mengekalkan corak permainan yang sudah biasa digunakan oleh beliau ?

    Baca Juga: Ambil Peluang Ini Wahai Anak Muda!

    Leave a comment

    Your email address will not be published.