• Jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe menyeru Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) agar mengatur perlawanan persahabatan menentang pasukan gergasi buat skuad kebangsaan pada masa akan datang. Beliau mengutarakan pendapat tersebut ketika Malaysia menewaskan Bhutan dengan keputusan 7-0.

    Apa yang diutarakan oleh Tan Cheng Hoe ada benarnya. Kita harus menghadapi pasukan yang lebih baik serta berada di kedudukan yang lebih tinggi dalam ranking FIFA berbanding pasukan kebangsaan. Namun, persoalannya adalah, pasukan gergasi mana yang sudi untuk bertemu dengan kita ? Adakah Australia ? Jepun ? Atau Korea Selatan ?

    Mungkin ketiga-tiga negara ini tidak akan melayan permintaan Malaysia untuk mengadakan satu perlawanan antarabangsa. Apa yang boleh kita lakukan adalah melakukan satu perkara secara berperingkat. Apa yang kami maksudkan disini adalah kita cuba untuk mengatasi pasukan dalam rantau Asia Tenggara terlebih dahulu.

    Jika kita sudah berjaya menewaskan pasukan seperti Thailand, Vietnam, Filipina dan Indonesia, barulah kita boleh mencongak ke beberapa negara Asia yang lain. Ini kerana di peringkat Asia Tenggara, kita masih agak ketinggalan di belakang empat pasukan di atas. Thailand, Vietnam dan Filipina sudah berjaya layak ke temasya Piala Asia tahun hadapan dan mereka layak secara merit. Manakala pasukan Indonesia pula juga sedang meningkat naik.

    Kebangkitan ini sudah pasti akan mengambil masa. Mungkin juga satu jangka masa yang lama. Akan tetapi, masa yang perlu kita tempuhi untuk menuju sebuah kejayaan adalah lebih baik daripada kita terus melihat skuad kebangsaan kita menjadi pasukan belasahan di peringkat antarabangsa.

    Dan untuk menuju kejayaan tersebut, semua pihak harus memainkan peranan bermula daripada sekarang. Jangan ada lagi pasukan yang enggan untuk melepaskan pemain mereka untuk tugasa antarabangsa. Dan harapnya tiada lagi penggiliran pemain secara besar-besaran pada masa akan datang.

    Apa pendapat anda mengenai cadangan Tan Cheng Hoe yang mahukan lawan yang lebih baik daripada pasukan negara ? Adakah kita akan melihat permintaan Tan Cheng Hoe menjadi kenyataan ?

    Baca Juga: Statistik Antara Tiga Jurulatih Negara

    Leave a comment

    Your email address will not be published.